Sinar Harian
JERANTUT - Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian barang kemas bernilai hampir RM26,000 di sebuah kedai emas di Jerantut 28 April lalu susulan penahanan dua lelaki pada Isnin.Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintenden Arshad Ayob berkata, suspek berusia 23 dan 63 tahun ditahan kira-kira jam 4 petang secara berasingan di Jalan Raja Laut dan Jalan Tengku Abdul Rahman, Chow Kit, Kuala Lumpur.Menurutnya, hasil siasatan lanjut ke atas suspek, polis berjaya menemui dan merampas gelang dan cincin emas pelbagai saiz yang dilaporkan dicuri sebelum ini."Turut dirampas, sebuah motosikal, telefon bimbit, kad bank dan pakaian untuk siasatan lanjut."Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah," katanya.Arshad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki diburu polis selepas disyaki memperdaya jurujual sebuah kedai emas sebelum melarikan sejumlah barang kemas di Jerantut.Dalam insiden sekitar jam 3 petang itu, suspek memasuki premis dengan menyamar sebagai pelanggan yang kononnya ingin membeli cincin pertunangan.Dalam tempoh singkat, suspek dipercayai mengambil semua barang kemas yang diletakkan di atas meja pameran sebelum melarikan diri dari premis.Jurujual terbabit cuba mengejar suspek, namun lelaki itu berjaya meloloskan diri. Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah tiga utas gelang emas, sebentuk cincin emas dan sebentuk cincin perak dengan jumlah kerugian hampir RM26,000.
Go to News Site