Sinar Harian
GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung empat isu yang didakwa melibatkan tatakelola dan pengurusan dana zakat di negeri ini.Laporan itu dibuat susulan beberapa dakwaan yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah.Menurut Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan wang zakat yang sepatutnya digunakan untuk golongan asnaf."Kita akan bawa beberapa dokumen dan maklumat kepada SPRM tengah hari ini untuk dibuat laporan rasmi."Kita mahu SPRM menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan dana zakat," katanya dalam sidang media di Bangunan DUN Pulau Pinang di sini pada Rabu.Turut hadir, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.Tambah beliau, empat isu yang akan dilaporkan itu melibatkan dakwaan pelantikan terus tanpa temu duga pegawai Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dihantar ke Mesir bagi menjaga pelajar negeri di negara berkenaan."Selain itu, turut dibangkitkan isu pelantikan seorang pegawai di Zakat MAINPP yang didakwa tidak memenuhi syarat umur dan pengalaman kerja sebagaimana ditetapkan."Syarat jawatan berkenaan menetapkan calon perlu berusia 35 tahun ke atas serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lapan tahun namun individu yang dilantik didakwa hanya berusia 32 tahun ketika pelantikan dibuat pada 2024."Kita mohon penjelasan kerajaan negeri mengenai perkara ini kerana ia membabitkan soal tatakelola dan integriti," katanya.Beliau turut membangkitkan isu penukaran status pinjaman dana Zakat MAINPP kepada pemberian yang didakwa melibatkan jumlah RM16 juta.Menurutnya, pinjaman yang dibuat oleh MAINPP menggunakan wang zakat itu kemudiannya ditukar status kepada pemberian menerusi keputusan mesyuarat MAINPP."Kita mahu tahu asnaf mana yang menerima pemberian tersebut kerana wang zakat hanya boleh digunakan untuk lapan golongan asnaf."Satu lagi dakwaan yang dibangkitkan ialah berkaitan kemasukan wang zakat sebanyak RM100,000 ke dalam akaun peribadi seorang setiausaha ketika lawatan ke Mesir bagi urusan perasmian asrama pelajar Pulau Pinang," katanya lagi.Muhammad Hafis berkata, wang berkenaan dipercayai sebahagian daripada perbelanjaan rombongan yang disertai Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid."Maklumat yang kita terima menunjukkan wang zakat dimasukkan terus ke akaun peribadi dan perkara ini perlu disiasat," katanya.Sementara itu, Muhammad Hafis menegaskan bahawa laporan kepada SPRM itu tidak mempunyai kaitan dengan saman yang diterima pihaknya bersama beberapa pemimpin Pas negeri lain sebelum ini."Ini kes berbeza dan kita mahu SPRM menjalankan siasatan secara telus terhadap semua dakwaan yang dibangkitkan," katanya.Sebelum ini, SPRM Pulau Pinang telah memanggil 63 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah serta penyalahgunaan dana zakat.Menurut SPRM, kesemua individu berkenaan dipanggil secara berperingkat untuk dirakam keterangan susulan pembukaan kertas siasatan pada pertengahan Januari lalu.Antara yang dipanggil termasuk Ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang serta pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri.Selain itu, Ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan kakitangan zakat negeri turut dipanggil bagi membantu siasatan.Siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli MAINPP dipercayai menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing untuk mencadangkan serta meluluskan pembelian tiga lot tanah bernilai kira-kira RM10 juta.
Go to News Site