Sinar Harian
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengarahkan dua defendan dalam saman pemula yang dikemukakan oleh Datuk Mubarak Dohak bersama lima yang lain untuk mengemukakan bantahan rasmi dalam tempoh tujuh hari berkaitan bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes tersebut.Kes itu membabitkan permohonan penggantungan pelaksanaan keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) bertarikh 17 April lalu.Hakim, Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU.Kedua-dua defendan yang diwakili peguam, Steven Thiru membangkitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan tersebut mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.Mereka berhujah bahawa berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan.Sehubungan itu, pihak defendan akan memfailkan afidavit sokongan kepada pihak mahkamah dan ia akan didengar secara lisan pada 28 Julai depan.Selain Mubarak, lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.Kesemua mereka diwakili oleh tujuh peguam yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud.Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Ala'uddin Baharom yang juga peguam mewakili defendan ketiga iaitu kerajaan Negeri Sembilan turut membantah permohonan plaintif untuk mendapatkan Minit Mesyuarat DKU kerana defendan bukanlah ahli DKU."Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri."Saya percaya kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit mesyuarat dan keputusan adalah perkara berbeza, manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan), defendan membantah sekerasnya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu," katanya.Pada prosiding tersebut, mahkamah turut tidak membenarkan apa-apa perintah pelaksanaan penggantungan yang dipohon oleh pihak plaintif yang bersangkutan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU bertarikh 17 April sehingga Minit Mesyuarat Sidang Khas tersebut dikemukakan dan diserahkan kepada plaintif.Ini termasuklah arahan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong secara serta-merta serta pemindahan pekerja balai dalam tempoh tidak sampai 24 jam.Mengulas keputusan itu, Awang Armadajaya berkata, mahkamah mendapati keterangan dalam afidavit yang dikemukakan belum mencukupi untuk membolehkan penggantungan interim diberikan."Namun, hakim telah menjelaskan bahawa pihak-pihak plaintif tidak terhalang membuat permohonan rasmi mengenai penggantungan tersebut."Jadi, kita akan mendapatkan arahan daripada plaintif (anak guam) sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Go to News Site