Sinar Harian
SHAH ALAM – Kerajaan diminta tidak terlalu bergantung kepada label pendapatan seperti T20 atau T10 dalam menentukan penarikan subsidi serta pelbagai bentuk bantuan kerana ramai dalam kategori berkenaan turut berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencabar.Pemain industri logistik dan pengangkutan, Daniel Khoo berkata, persepsi bahawa semua golongan berpendapatan tinggi menikmati kehidupan mewah dan stabil tidak lagi menggambarkan realiti sebenar ketika ini.Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup, komitmen pinjaman bank, kos operasi perniagaan dan ketidaktentuan ekonomi semasa menyebabkan sebahagian besar kumpulan tersebut turut bergelut untuk mengekalkan kestabilan kewangan."Saya sokong pandangan yang dibangkitkan yang mana ramai melihat golongan T20 atau T10 ini semuanya hidup senang, tetapi hakikatnya ramai hanya sedang bertahan."Di bandar besar, walaupun pendapatan mereka nampak tinggi di atas kertas, komitmen bulanan yang perlu ditanggung juga sangat besar," katanya pada Khamis.Daniel yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata, ramai ahli perniagaan, golongan profesional dan pemilik syarikat kini berdepan tekanan aliran tunai yang serius.Katanya, terdapat syarikat yang terpaksa mengurangkan tenaga kerja, menangguhkan pelaburan serta melaksanakan langkah penjimatan bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan."Mereka juga merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara melalui pembayaran cukai, peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan."Jadi, jangan mudah menghukum semua golongan ini seolah-olah mereka tidak lagi memerlukan bantuan atau subsidi," ujarnya.Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kaedah serta kriteria digunakan kerajaan dalam menentukan klasifikasi pendapatan rakyat ketika landskap ekonomi negara masih berada dalam keadaan tidak menentu.Menurutnya, penggunaan pendapatan kasar semata-mata tidak lagi sesuai dijadikan ukuran utama kerana kos kehidupan di setiap kawasan adalah berbeza selain ramai rakyat menanggung hutang serta komitmen kewangan tinggi."Ada yang nampak mewah di luar, tetapi sebenarnya rapuh dari sudut kewangan."Sebab itu kerajaan perlu melihat keseluruhan realiti kehidupan rakyat dan bukan sekadar berpandukan angka atau label seperti T20 dan T10," katanya.
Go to News Site