Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbuka menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, dakwaan kononnya suruhanjaya itu menghalang mana-mana individu daripada membuat aduan adalah tidak benar.Menurutnya, dakwaan berkenaan juga disifatkan sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap prosedur penguatkuasaan serta tatacara keselamatan yang diamalkan SPRM."Setiap proses pengaduan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) serta protokol keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan premis, kelancaran urusan rasmi dan perlindungan maklumat."Kawalan kemasukan ke premis SPRM adalah amalan standard yang dilaksanakan secara konsisten kepada semua pengunjung dan tidak bersifat diskriminatif atau bertujuan menghalang mana-mana pihak membuat laporan," katanya pada Selasa.Menurut SPRM, premis suruhanjaya itu turut tertakluk kepada peruntukan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298].Katanya, akta berkenaan memperuntukkan hanya individu yang mempunyai kebenaran, pas atau permit sah dibenarkan memasuki kawasan terbabit serta tertakluk kepada arahan dan pemeriksaan keselamatan oleh pegawai berkuasa."SPRM juga menegaskan bahawa tiada sebarang isu gender seperti yang didakwa dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan."Pegawai yang menjalankan tugas adalah tertakluk kepada profesionalisme, etika dan tatacara siasatan yang ditetapkan di bawah undang-undang serta peraturan dalaman suruhanjaya," katanya.Dalam pada itu, SPRM menolak sekeras-kerasnya cubaan memanipulasi SOP keselamatan dan prosedur penguatkuasaan bagi membina naratif kononnya suruhanjaya itu cuba menyekat atau menghalang proses pengaduan."SPRM kekal komited melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas dan berintegriti selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip keadilan," jelasnya.
Go to News Site