Sinar Harian
SHAH ALAM - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak patut diberikan pengampunan, sebaliknya perlu dibawa pulang ke Malaysia untuk menghadapi siasatan dan perbicaraan lanjut.Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sangat menentang sebarang usaha untuk memberikan pengampunan kepada Jho Low."Saya sangat menentangnya. Dia perlu dibawa balik ke Malaysia untuk siasatan dan perbicaraan lanjut," katanya pada Rabu.Sebelum ini, ahli kewangan Malaysia dalam buruan dan dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang salah satu skandal penipuan kewangan terbesar dalam sejarah itu didakwa memohon pengampunan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.Menurut laman web Jabatan Kehakiman (DoJ), permohonan atas nama Taek Jho Low itu adalah untuk 'pengampunan selepas selesai menjalani hukuman'.Status permohonannya masih menunggu keputusan (pending) dan tiada butiran lanjut lain didedahkan.Jho Low yang berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) daripada 1MDB pada 2018 masih bebas.Salah seorang bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan semasa perbicaraan 2022 terhadap bekas rakan sekerjanya, Roger Ng yang kemudiannya disabitkan kesalahan.Leissner memberitahu juri bahawa Jho Low memberi jaminan kepadanya bahawa Trump yang ketika itu merupakan Presiden terlibat secara langsung dalam rundingan untuk menamatkan siasatan jenayah AS berkaitan skandal 1MDB.Leissner berkata, Jho Low juga mendakwa kononnya telah berbincang tentang perkara itu dengan Jared Kushner, menantu Trump dan penasihat kanan Rumah Putih ketika itu serta mendapat sokongan untuk satu perjanjian yang membolehkan mereka mengelakkan pertuduhan jenayah berkaitan penglibatan mereka dengan 1MDB.
Go to News Site