Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Polis merampas pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.3 juta dalam serbuan di sebuah premis antik di Kota Kinabalu Sabah pada Rabu.Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam serbuan pada jam 9.45 pagi itu pihaknya menahan seorang suspek berusia 53 tahun yang juga merupakan pemilik premis terbabit."Hasil pemeriksaan menemukan 16 batang gigi taring disyaki daripada spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki spesies harimau, 10 batang gigi disyaki spesies beruang,13 biji batu landak dan 394 keping sarang burung disyaki spesies burung walet seberat 2,243 gram."Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku membeli sarang burung walet dan batu landak daripada pembekal di Lintas, Sabah tanpa lesen atau permit sah," katanya Salam kenyataan pada Rabu.Mohd Zaki berkata, bahagian hidupan liar dilindungi itu pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga rendah sebelum dijual untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu."Kesemua barangan tersebut disimpan tanpa permit daripada pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.32 juta," katanya.Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah," katanya.
Go to News Site