Sinar Harian
KULIM - Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi satu hantaran di media sosial, Januari lalu.Tertuduh, Tsen Vui Kiong, 51, dari Sandakan, Sabah membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Khamis.Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil 'Jimmy Tsen' telah memuat naik satu hantaran yang telah dibaca oleh Khairull Fadzillah Bakar, 45, di Taman Selasih di sini, 6 Februari lalu.Hantaran tersebut, yang mengandungi perkataan dan gambar kartun, didakwa dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan penganut agama Islam.Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hairul Alif Hairul Azam.Hairul Alif dalam rayuan memohon hukuman denda paling ringan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan masih mempunyai kedua ibu bapa yang sudah tua.Sementara itu, Jayasri memohon agar mahkamah memberikan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam terutama dalam penggunaan media sosial.Katanya, hukuman tersebut akan menjadi mesej kepada masyarakat supaya tiada sesiapa yang boleh meghina agama lain dan hukuman setimpal diperlukan agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan.
Go to News Site