Collector
Bakal pengantin sorok atas siling elak dicekup khalwat | Collector
Bakal pengantin sorok atas siling elak dicekup khalwat
Sinar Harian

Bakal pengantin sorok atas siling elak dicekup khalwat

JOHOR BAHRU – Cubaan seorang lelaki bersembunyi di atas siling rumah bagi mengelak ditahan gagal selepas ditemui dalam serbuan khalwat di sebuah rumah teres dua tingkat, di sini awal pagi Selasa.Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serbuan dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai kehadiran seorang lelaki di rumah milik nenek teman wanitanya di sebuah taman perumahan kira-kira jam 2.30 pagi.Katanya, penguat kuasa mengambil masa hampir 15 minit mengetuk pintu rumah sebelum seorang wanita berbaju kelawar membuka pintu selepas amaran diberikan untuk memecahkan tombol rumah."Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang nenek sedang tidur di ruang tamu."Wanita itu mendakwa hanya dia dan neneknya berada di dalam rumah tanpa kehadiran individu lain," katanya dalam satu kenyataan.Pemeriksaan kemudian dilakukan di tingkat atas rumah yang mempunyai dua bilik, namun tiada individu lain ditemui pada awalnya.Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di sebuah bilik mendapati sebahagian siling rumah telah rosak dan terkopak, selain penemuan telefon bimbit serta dompet dipercayai milik seorang lelaki."Wanita itu hanya berdiam diri menyebabkan penguat kuasa mengesyaki terdapat individu lain di dalam rumah."Pemeriksaan di atas siling kemudiannya menemui seorang lelaki sedang mencangkung dan berpaut pada kayu galang siling rumah," katanya.Lelaki terbabit diarahkan turun sebelum siasatan mendapati pasangan itu bukan suami isteri.Menurut JAINJ, kedua-duanya masih bujang dengan lelaki berkenaan bekerja di daerah ini manakala wanita terbabit menjalankan perniagaan secara dalam talian dan bekerja sambilan dari rumah.Difahamkan, wanita itu tinggal bersama neneknya yang uzur atas permintaan ibu bapanya, manakala rumah keluarga mereka terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian."Hasil siasatan mendapati lelaki itu datang ke rumah berkenaan sekitar jam 11.30 malam."Pasangan ini juga difahamkan bakal bernikah dalam beberapa minggu lagi dan urusan di pejabat kadi telah selesai," katanya.Tambah JAINJ, aduan dibuat jiran selepas mendakwa lelaki berkenaan kerap datang ke rumah itu sebelum penguat kuasa bertindak menjalankan serbuan.Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Go to News Site