Collector
Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi Azam Baki | Collector
Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi Azam Baki
Sinar Harian

Rafizi bimbang siasatan SPRM dipengaruhi emosi Azam Baki

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan kemungkinan wujud unsur emosi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya susulan kenyataan dibuat bekas ketuanya, Tan Sri Azam Baki.Beliau berkata, kenyataan Azam dalam ucapan perpisahan pada Selasa yang menyebut tidak akan memaafkan individu menyerang atau mengkritiknya telah menimbulkan tanda tanya terhadap kebebasan siasatan yang sedang dijalankan."Sebenarnya itu adalah satu kenyataan memberi kesan kepada SPRM kerana agensi penguatkuasa yang diberi amanah untuk melaksanakan undang-undang tidak boleh ada perasaan peribadi."Mereka mesti nampak bebas dan kebal daripada kritikan kerana harus berpandukan kepada bukti dan undang-undang semata-mata," katanya ketika sidang akhbar di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.Selasa lalu, semasa majlis persaraannya, Azam dilapor berkata beliau tidak akan pernah memaafkan pihak yang telah melancarkan serangan peribadi terhadapnya dan keluarganya.Menurut Rafizi, kenyataan sedemikian memberi gambaran seolah-olah terdapat unsur emosi dalam tindakan penguatkuasaan, lebih-lebih lagi apabila beliau antara individu yang lantang mengkritik Azam sejak beberapa tahun lalu."Apabila dia sebut dia tak akan maafkan orang yang menyerang, nampak ada unsur emosi yang besar. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, antara orang yang paling lantang mengkritik adalah saya," jelas bekas Menteri Ekonomi itu.Rafizi berkata, kritikan beliau terhadap Azam sebelum ini bukan bersifat peribadi sebaliknya demi memastikan SPRM terus diyakini sebagai institusi bebas dan berintegriti.Katanya, siasatan terhadap dirinya juga bermula tidak lama selepas beliau mengkritik isu pemilikan saham melibatkan Azam sekali gus menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur rasa tidak puas hati dalam keputusan membuka siasatan."Sudah tentu kalau sesiapa berada dalam keadaan saya, ia akan menimbulkan tanda tanya adakah semasa kes saya dibuka lebih kurang dua bulan setengan lalu, terutamanya selepas saya mengkritik Azam mengenai pemilikan saham, ada unsur emosi yang menyebabkan siasatan itu bermula," katanya.Beliau turut mendakwa kenyataan Azam minggu lalu mengenai cadangan supaya dua individu disiasat dibuat ketika proses rakaman percakapannya masih belum selesai sepenuhnya."Tapi Azam memang dah buat kenyataan bahawa SPRM akan mencadangkan supaya dua orang disiasat."Perkara-perkara ini bila kita lihat secara keseluruhan memang menjadi hak saya untuk menanyakan sama ada siasatan terhadap saya ini dipengaruhi unsur emosi," katanya.Dalam masa sama, Rafizi berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya dipengaruhi emosi dalam menentukan sesuatu siasatan kerana tindakan penguatkuasaan perlu dibuat secara profesional dan bebas.

Go to News Site