Sinar Harian
PUNCAK ALAM - Rukun Negara perlu terus dihayati sebagai kompas moral atau sistem nilai bagi memastikan kemajuan negara tidak hilang arah dalam mendepani era digital yang semakin mencabar.Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepesatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial tanpa sempadan menuntut rakyat untuk kembali kepada falsafah hidup tersebut.Menurutnya, ia bagi memastikan pembangunan teknologi sentiasa seiring dengan pembangunan akhlak serta perpaduan."Rukun Negara perlu diadaptasi sebagai asas pembentukan jati diri generasi masa depan, bukan sekadar warisan sejarah tetapi sebagai prinsip hidup yang sentiasa segar dan dinamik."Di sinilah letaknya kekuatan sebenar Malaysia iaitu apabila kemajuan dipandu oleh nilai dan masa depan dibina atas asas perpaduan," katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Program Jelajah Belia Rukun Negara di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, di sini pada Khamis.Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Datuk Aaron berkata, ia merupakan platform intervensi sosial yang bertujuan mendekatkan Rukun Negara dengan realiti kehidupan golongan belia masa kini menerusi Modul Penghayatan Rukun Negara.Modul tersebut merangkumi empat tema utama iaitu ‘Kenapa dan Mengapa’, ‘Menjunjung Rukun Negara’, ‘Meraikan Kepelbagaian’ serta ‘Pembinaan Nilai dan Jati Diri’.Jelas beliau, tema-tema tersebut disusun khusus bagi menangani cabaran perpaduan semasa termasuk isu etnisiti, media, agama dan kelas sosial seperti yang dikenal pasti dalam dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar 193 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara terus memainkan peranan sebagai penggerak utama penghayatan nilai kenegaraan dalam kalangan mahasiswa."SRN bukan sekadar kelab di kampus, tetapi platform kepimpinan belia untuk menyemarakkan nilai kenegaraan dan memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia."Saya menyeru lebih ramai mahasiswa menyertai dan mengaktifkan SRN di kampus masing-masing untuk membina negara bangsa yang bersatu, harmoni serta berdaya tahan," tambahnya.Program Jelajah Belia Rukun Negara bakal dilaksanakan di 15 buah IPT yang mewakili setiap negeri, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan belia yang menjiwai prinsip kenegaraan secara holistik demi kemakmuran negara.
Go to News Site