Sinar Harian
KOTA TINGGI – Cubaan sindiket menyeludup keluar migran warga Indonesia melalui laluan tidak diwartakan di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, Pengerang dekat sini berjaya dipatahkan polis petang Rabu.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menyerbu lokasi pada kira-kira jam 6.45 petang selepas menerima maklumat awam.Beliau berkata, hasil pemantauan selama beberapa minit mendapati sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan semak terbabit."Semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu kereta itu bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan polis."Hasil pemeriksaan menemukan seorang migran yang dipercayai sedang dirancang untuk dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, susulan tangkapan itu, polis menjalankan pemeriksaan lanjut di kawasan semak berkenaan sebelum menemukan sekumpulan warga Indonesia yang sedang bersembunyi.Katanya, kumpulan tersebut terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun."Hasil siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit mengaku mahu pulang ke Indonesia melalui laluan haram yang diuruskan oleh dua penjaga rumah penampungan sementara yang turut ditahan dalam serbuan itu," ujarnya.Beliau berkata, keseluruhan tangkapan termasuk tiga individu yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan migran bersama rampasan telah dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63."Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali."Bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak melebihi enam kali," katanya lagi.
Go to News Site