Sinar Harian
KAJANG - Minat membaca sejak zaman persekolahan mendorong warga emas, Syed Hamid Syed Abu Bakar, 72, mengumpul ribuan bahan penulisan sebagai koleksi peribadi di kediamannya di Semenyih.Menurut bapa 13 anak itu, minat membaca bermula dengan bahan ringan seperti majalah dan akhbar sebelum berkembang kepada buku ilmiah dan karya berat."Minat ini bukan sesuatu yang terbentuk dalam sehari kerana saya sudah kumpul majalah, novel dan buku sejak zaman sekolah menengah lagi."Ketika itu tidak seperti sekarang dunia media sosial dan hiburan digital."Tapi saya tak pernah tinggalkan minat baca buku walaupun selepas memasuki alam pekerjaan dan berkeluarga," ujarnya kepada Sinar Harian.Syed Hamid berkata, dia pernah memiliki bahan penerbitan lama yang kini sukar ditemui di pasaran seperti majalah Sarina, Mastika, Dian."Koleksi lain termasuk buku fiksyen, autobiografi, falsafah dan bahan bacaan sejarah serta politik."Kadang-kadang saya membaca genre lebih ringan atau kalau ada masa terluang memang saya habiskan masa membaca bahan lebih berat," ujarnya.Bagaimanapun Syed Hamid berkata, sebahagian daripada koleksi berharga itu musnah apabila rumahnya dilanda banjir besar pada 2021.Menurutnya, kehilangan bahan berharga itu cukup menyedihkan kerana sebahagian buku tersebut dikumpulkan sejak bertahun lama."Kalau dulu buku saya penuh dalam almari tapi sebahagiannya dah kena air, tak boleh nak selamatkan. Tapi minat terhadap buku tidak pernah luntur," katanya.Bekas Penolong Pegawai Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memaklumkan dia kini membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli bahan bacaan baharu pada setiap bulan tanpa mengira genre.
Go to News Site