Sinar Harian
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Lima kenderaan termasuk treler terlibat dalam kemalangan di bawah Terowong Udini, Jalan Masjid Negeri di Jelutong di sini dengan tiga daripadanya terbakar dalam kejadian pada pagi Jumaat.Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 7 pagi tersebut.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikejarkan ke lokasi.Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.26 pagi dan operasi berjaya dikawal tujuh minit kemudian."Kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di bawah 'underpass' Udini yang mana, tiga daripadanya terbakar."Kenderaan yang terbakar ialah sebuah treler yang membawa muatan konkrit, van persiaran dan sebuah Proton S70 manakala Perodua Alza serta Chery Tiggo tidak terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kebakaran melibatkan kemusnahan kira-kira 90 peratus pada kepala treler dan van persiaran sementara Proton S70 musnah kira-kira 95 peratus.Tambahnya, operasi pemadaman menggunakan kaedah ‘direct attack’ berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.16 pagi sebelum operasi tamat pada jam 8.41 pagi."Kerja-kerja 'overhaul' selesai dijalankan dan lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,."Operasi diketuai seorang komander operasi bersama lapan anggota termasuk penyelia dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS)," katanya.Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan pihaknya telah menggerakkan anggota warden trafik ke lokasi bagi melaksanakan kawalan dan melancarkan aliran trafik di kawasan terlibat.Difahamkan kejadian itu menyebabkan kesesakkan teruk di beberapa kawasan antaranya Greenlane, Jalan Masjid Negeri dan Jalan Batu Lanchang berikutan ia merupakan laluan utama dan kejadian berlaku pada waktu pagi ketika orang ramai keluar bekerja.
Go to News Site