Sinar Harian
SHAH ALAM - Pas mendakwa pengumuman kerajaan mengenai peluang kemasukan lepasan tahfiz ke program tertentu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hanyalah satu taktik "silap mata" bagi mengaburi agenda sebenar berkaitan pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC).Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengumuman menggabungkan kategori lepasan tahfiz dan UEC itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menghalalkan kemasukan pelajar UEC ke universiti awam secara halus.Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan khusus mengenai lepasan tahfiz sedangkan golongan berkenaan selama ini tidak pernah menghadapi masalah untuk menyambung pengajian ke IPTA mahupun Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).Ahmad Fadhli menerusi hantaran di laman Facebooknya menegaskan, pelajar aliran tahfiz sedia ada sudah pun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar lain, sekali gus melayakkan mereka memasuki sistem pendidikan tinggi tanpa halangan."Sejak bila pula aliran tahfiz bermasalah untuk ke IPTA? Selama ini, mereka yang mengikuti aliran tahfiz menduduki SPM sama seperti pelajar lain, dan masuk ke IPTA/IPTS tanpa sebarang masalah."Kenapa perlu dikeluarkan kenyataan khusus sebut tentang lepasan tahfiz ini?"Akui sahajalah, kerajaan mahu umumkan untuk UEC sahaja sebenarnya. Janganlah main silap mata. Betul-betul Madani," katanya di laman media sosialnya itu.Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan rasa hairan terhadap keperluan pengumuman tersebut yang seolah-olah memberi gambaran bahawa aliran tahfiz mempunyai masalah sistemik sebelum ini.Isu ini tercetus susulan kenyataan media daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai 'Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam'.Pada Khamis, kerajaan bersetuju membuka laluan kemasukan ke IPTA kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.KPT dalam kenyataan itu memaklumkan, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi.Menurutnya, calon daripada aliran berkenaan yang memiliki SPM penuh boleh memohon program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit, berdasarkan pakej mata pelajaran ditetapkan KPM.
Go to News Site