Collector
Industri vape dakwa negara berisiko hilang lebih RM600 juta hasil cukai setahun | Collector
Industri vape dakwa negara berisiko hilang lebih RM600 juta hasil cukai setahun
Sinar Harian

Industri vape dakwa negara berisiko hilang lebih RM600 juta hasil cukai setahun

KUALA LUMPUR - Industri vape tempatan memberi amaran negara berisiko kehilangan lebih RM600 juta hasil cukai setahun sekiranya produk vape 15 mililiter (ml) dihapuskan secara tergesa-gesa di bawah pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia, Mohamad Nizam Talib berkata, langkah tersebut bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah memberi kesan kepada ribuan pekerjaan dalam industri berkenaan.Menurut beliau, pemain industri telah membuat pelaburan besar sejak Akta 852 diperkenalkan termasuk melibatkan pendaftaran produk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pensijilan SIRIM, pembayaran duti eksais, pembangunan kilang tempatan serta pematuhan standard keselamatan dan pelabelan."Industri telah ikut undang-undang dan melabur besar untuk memastikan produk mematuhi piawaian kerajaan. Namun kini timbul cadangan untuk menghapuskan kategori produk 15ml tanpa tempoh peralihan munasabah," katanya dalam satu kenyataan padq Jumaat.Beliau berkata, berdasarkan anggaran semasa, terdapat kira-kira 1.5 juta pengguna vape di Malaysia dengan sekitar 70 peratus menggunakan sistem botol vape.Katanya, purata penggunaan pula dianggarkan sekitar lapan botol sebulan dan dengan kadar cukai RM6 bagi setiap botol 15ml, kerajaan dianggarkan mengutip sekitar RM50 juta hasil cukai sebulan atau lebih RM600 juta setahun daripada kategori produk berkenaan sahaja.Dalam pada itu, beliau mendakwa penghapusan produk 15ml secara mengejut berpotensi meningkatkan aktiviti penyeludupan dan pasaran gelap selain menyebabkan kemasukan produk tidak bercukai serta tidak terkawal ke dalam negara."Permintaan pengguna masih wujud. Jika produk sah dihapuskan, pengguna akan beralih kepada pasaran gelap dan produk seludup yang langsung tidak berada dalam sistem kawal selia kerajaan," katanya.Industri turut membangkitkan kebimbangan berhubung penguatkuasaan Akta 852 yang didakwa masih belum stabil apabila penjualan atas talian dan produk tidak berdaftar masih mudah diperoleh di pasaran.Selain itu, mereka mendakwa penyalahgunaan vape mengandungi bahan terlarang termasuk dadah sintetik ketika ini lebih banyak berpunca daripada pasaran haram dan produk bawah tanah yang tidak dikawal kerajaan.Mohamad Nizam turut mempersoalkan percanggahan dasar apabila peranti sistem terbuka masih dibenarkan, cukai masih dikutip dan pensijilan SIRIM masih diluluskan, namun cecair vape sah yang digunakan bersama peranti tersebut dicadangkan untuk dihapuskan.Menurutnya, situasi itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur dan pemain industri yang telah membuat pelaburan besar bagi mematuhi semua keperluan ditetapkan kerajaan.Beliau berkata, industri vape tempatan ketika ini melibatkan lebih 8,000 pekerja sektor pengilangan dan lebih 15,000 pekerja sektor peruncitan selain ribuan lagi pekerjaan sokongan dalam rantaian bekalan tempatan."Sebahagian besar pemain industri terdiri daripada golongan belia dan usahawan Bumiputera yang membina perniagaan mereka secara sah sejak beberapa tahun lalu," katanya.Dalam perkembangan sama, industri mendakwa tiada libat urus menyeluruh dilakukan bersama kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum cadangan penghapusan produk 15ml dibawa.Sehubungan itu, mereka berharap campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dilakukan bagi memastikan sebarang perubahan dasar mengambil kira implikasi ekonomi, hasil negara, kestabilan pelaburan serta risiko pertumbuhan pasaran gelap pada masa hadapan.

Go to News Site