Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menggantung pegawai dan anggota berhubung kes penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk beberapa paket dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan."Ini termasuk menggantung pegawai dan anggota berkaitan dan tindakan seterusnya akan dibuat bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan juga beberapa jabatan bagi memastikan perkara ini tidak berulang."Saya telah mengingatkan semua Ketua Polis Daerah dan juga Ketua Polis Negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu seumpama ini," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.Mohd Khalid berkata, siasatan pihaknya mendapati berlaku sedikit kelompangan berhubung penemuan barang terlarang itu.Justeru kata beliau, semua Ketua Polis Negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan pemeriksaan lokap."Arahan juga telah diberikan kepada Ketua Polis Daerah untuk melaksanakan pemeriksaan di lokap-lokap dari masa ke masa."Secara keseluruhannya, kita melihat keadaan masih baik dan terkawal. Cuma dalam satu kes terbaru, hasil siasatan mendapati berlaku sedikit kelompangan apabila beberapa bahan terlarang dijumpai di dalam lokap," ujarnya.Media sebelum ini melaporkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang di Balai Polis Sentral IPD Ipoh baru-baru ini.Pemeriksaan dikatakan tertumpu di lokap yang menempatkan empat orang Orang Kena Tahan (OKT) lelaki.
Go to News Site