Collector
[VIDEO] Sindiket penipuan dalam talian tumpas, RM57.68 juta aset dirampas | Collector
[VIDEO] Sindiket penipuan dalam talian tumpas, RM57.68 juta aset dirampas
Sinar Harian

[VIDEO] Sindiket penipuan dalam talian tumpas, RM57.68 juta aset dirampas

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan dalam talian antarabangsa berjaya dibongkar hasil tangkapan 187 individu dengan rampasan bernilai RM57.68 juta menerusi operasi khas di seluruh negara baru-baru ini.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Op Teguh 2.0 pada 6 dan 7 Mei lalu telah melaksanakan sebanyak 46 serbuan di beberapa premis kediaman termasuk kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.Menurutnya, seramai 187 individu melibatkan 151 lelaki dan 36 wanita dari pelbagai warganegara berjaya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian rentas sempadan."Tangkapan terdiri daripda 129 warga China, Malaysia (23), Jepun (9), Vietnam (8), Indonesia (7), Laos (4), Thailand (3), Filipina (2) dan Myanmar (2)."Kesemua mereka masih dalam tempoh reman untuk tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 serta Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan mencecah RM57.68 juta meliputi tiga unit hartanah mewah bernilai RM38 juta, 20 buah kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce Cullinan, Mercedes Benz G63, Toyota Supra MK4 dan Zeekr 009 Executive dengan nilai keseluruhan RM6.58 juta.Selain itu Mohd Khalid berkata, rampasan juga terdiri daripada 67 unit barangan mewah melibatkan jam tangan, beg tangan, barang kemas, dompet dan gold bar bernilai RM12 juta selain 556 unit peranti digital bernilai RM552,000 serta wang tunai, mata wang asing, kad debit, kredit serta aset mata wang kripto berjumlah RM549,786."Sehingga kini, sebanyak 24 kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat penglibatan sindiket dalam pelbagai bentuk penipuan dalam talian antarabangsa," ujarnya.Dedah beliau, siasatan polis mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari pelbagai negara termasuk Hong Kong, China, Korea dan Jepun.Katanya, antara modus operandi yang dikenal pasti ialah penipuan pelaburan tidak wujud dengan menggunakan platform pelaburan palsu bagi memperdaya mangsa warga Hong Kong dan China."Bagi kes phone scam, sindiket menyamar sebagai pegawai polis Jepun menerusi aplikasi BRIA Mobile, Telegram dan Line, manakala love scam dilakukan dengan memperdaya mangsa melalui hubungan maya dan menyasarkan warganegara Korea dan Jepun."Penipuan perjudian online pula menggunakan aplikasi perjudian palsu serta menjalankan transaksi kewangan haram dengan menyasarkan warga Hong Kong dan China," ujarnya.Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang utama, pengurusan kewangan serta hubungan jenayah rentas sempadan yang terlibat."Tiga individu iaitu dua warga China dan seorang tempatan sedang dikesan polis untuk membantu siasatan," ujarnya.Katanya lagi, siasatan awal juga mendapati warga asing terbabit memiliki dokumen pengenalan sah untuk berada di Malaysia, namun dikesan sindiket-sindiket terbabit bergabung untuk beroperasi di Malaysia."Ada yang masuk ke sini sebagai pelancong dan sebagainya."Jadi, PDRM bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan kerjasama bagi melaksanakan pemantauan kemasukan warga asing. Ini bukan tindakan baharu, Op Teguh 1.0 tahun lalu juga telah mengambil tindakan serupa," katanya.Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan PDRM turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung isu ini."Kes ini berlaku hanya melibatkan segelintir mereka (warga asing) sahaja selain tindakan operasi biasa yang dilaksanakan JSJK bersama JSJ," ujarnya.

Go to News Site