Sinar Harian
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan yang diterima masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi laluan khas tetap akan menerima subsidi kerajaan seperti pelajar lain.Tegas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman, pelajar terbabit akan mengikuti pengajian menerusi saluran perdana dan bukannya kategori komersial."Apabila mereka masuk kepada program ini, ia dianggap sebagai saluran perdana. Maksudnya program mereka ini adalah disubsidi oleh kerajaan juga."Saya tahu ada pihak-pihak yang mengatakan mungkin mengambil ini, maka perlu memberi membayar yuran luar, yuran komersial. Tidak," katanya ketika sidang akhbar khas di sini pada Jumaat.Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme pembiayaan yuran pengajian kepada pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan iaitu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan tahfiz yang diterima masuk ke universiti awam.Terdahulu, Pakar Pendidikan Dr Anuar Ahmad berpandangan, pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan tidak sepatutnya menikmati pembiayaan kerajaanTimbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) itu berkata, soal subsidi pendidikan perlu dilihat secara adil terhadap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan kebangsaan sejak awal.Azlinda menjelaskan, kerajaan membuka ruang kemasukan tersebut i bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif."Ini adalah kita beri ruang, kita ikhlas memberi ruang tersebut dengan melalui saluran perdana," jelas beliau.KPT pada Khamis berkata, kerajaan membenarkan pelajar lepasan SMPC, UEC dan tahfiz berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di universiti.Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.Bag calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).Bagi calon lepasan SMPC dan UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Go to News Site