Sinar Harian
SHAH ALAM – Kepelbagaian projek infrastruktur di Pahang yang kini melalui fasa pembangunan bakal memberi impak besar kepada rakyat di negeri itu secara langsung menerusi limpahan ekonomi dalam lima hingga 10 tahun mendatang.Ini manifestasi daripada projek pemangkin transformasi negeri antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada Januari 2027, dipacu oleh pendekatan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dalam usaha merancakkan ekosistem ekonomi.Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, projek ECRL bukan sekadar landasan kereta api sepertimana sinis diperkatakan ramai, ia sebaliknya gagasan masa depan negeri membabitkan tujuh stesen strategik iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Pelabuhan Kuantan dan Cherating.Beliau menegaskan, tumpuan kerajaan negeri adalah untuk mencipta peluang pekerjaan, membina bandar baharu di sepanjang laluan ECRL dan menghidupkan ekonomi generasi masa depan."Melalui pendekatan seperti TOD, pembangunan bandar secara bersepadu di sekitar stesen ECRL dapat dijayakan contohnya projek Pangsapuri Pahangku, komersial perhotelan dan perniagaan serta kemudahan awam seperti hospital."Ini termasuk Pembangunan Berhampiran Transit (TAD), Pembangunan Berorientasikan Kargo (COD) dan Pelabuhan Kuantan termasuk Inland Port yang bakal menjadi hab strategik untuk mengumpul, menyimpan serta mengendalikan kargo dari zon perindustrian menggunakan ECRL."Kita mewujudkan perumahan, kawasan komersial, hospital dan taman perindustrian. Ini bermakna pembangunan tidak terhenti di bandar besar sahaja."Kita tidak mahu pembangunan hanya cantik di atas kertas. Ia perlu menjadi sesuatu yang rakyat boleh rasa, guna dan banggakan dari jaringan rel masa depan hingga peluang pekerjaan," katanya.Beliau berkata demikian ketika program Interviu x Podcast Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf, di sini pada Isnin.Ditanya tentang cabaran terbesar menguruskan tiga portfolio kementerian serentak di Pahang, Razali secara realistik berpendapat bahawa setiap daripadanya amat kritikal dan menuntut tindakan segera dalam bentuk yang berbeza.Misalnya dari sudut kerja raya, beliau melihat rakyat menginginkan hasil cepat dan nyata seperti pembaikan jalan, jambatan uzur serta projek terbengkalai, malah tekanannya tinggi kerana melibatkan persepsi langsung terhadap prestasi kerajaan."Daripada sudut pengangkutan pula,cabarannya adalah keterhubungan dan keadilan akses khususnya bandar serta luar bandar di mana kita berdepan kekangan kos, faktor geogra dan keperluan menyelaras pelbagai agensi."Kesihatan yang paling sensitif kerana ia melibatkan nyawa manusia. Cabarannya bukan cuma fasiliti tetapi tenaga kerja, kesedaran rakyat serta memastikan perkhidmatan sampai ke kawasan pedalaman."Di sinilah, silap kecil pun boleh memberi kesan besar kepada rakyat. Cabaran besar juga tentang bagaimana mahu menyatukan ketiga-tiga portfolio ini dalam satu ekosistem yang bersepadu," tambah beliau.Sinergi jelas Kerajaan Persekutuan, Pahang Pembangunan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di Pahang pada hakikatnya tidak boleh bergerak sendirian, sebaliknya ia memerlukan satu sinergi yang jelas, tegas serta berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.Di peringkat Kerajaan Negeri Pahang, jelas Razali, entiti itu sentiasa bertindak selaku pemudah cara dalam konteks pelaksanaan sama ada melibatkan pengambilan tanah, kelulusan teknikal, kebenaran merancang mahupun penyelarasan di lapangan.Beliau berpendapat bahawa kebanyakan projek boleh terhenti begitu sahaja pada fasa awal tanpa peranan yang dimainkan kerajaan negeri.Bagi peringkat Kerajaan Persekutuan pula, kata beliau, ia memegang tanggungjawab besar dalam menyediakan peruntukan dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi, khususnya kepada tiga sektor di bawah seliaannya iaitu kesihatan, pengangkutan serta infrastruktur asas yang menjadi nadi kesejahteraan rakyat."Contohnya di Pahang, kita lihat sendiri bagaimana projek besar seperti ECRL dan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bukan sekadar pelaksanaan atas kertas, tetapi juga ia sedang membentuk masa depan ekonomi serta keterhubungan negeri ini secara holistik."Di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan negeri tidak bersifat menunggu tapi mengambil pendekatan proaktif dengan mengenal pasti keperluan rakyat di peringkat akar umbi dan mengangkatnya sebagai keutamaan dalam setiap rancangan Malaysia."Dalam masa sama, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negara termasuk di Pahang, khususnya dalam menaik taraf hospital, klinik kesihatan dan sistem perkhidmatan kesihatan awam," ujarnya.Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah itu menegaskan bahawa rakyat tidak melihat tentang siapa yang melulus atau melaksanakan sesuatu projek.Sebaliknya, kata beliau, perkara yang ingin dilihat adalah hasil yang sampai kepada rakyat tidak kira di hospital, klinik desa, jalan raya atau sistem pengangkutan ambulans di pedalaman."Paling penting bagi mereka adalah kecekapan, kelajuan dan keberkesanan. Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Pahang mesti kekal dalam semangat ‘perkongsian tanggungjawab, bukannya persaingan tanggungjawab’."Apabila dasar di Putrajaya dan pelaksanaan di Pahang bergerak seiring, maka yang menang bukan mana-mana institusi politik, tetapi rakyat kerana mereka akhirnya menikmati pembangunan sebenar," jelas jurutera awam itu lagi.
Go to News Site