Sinar Harian
TELUK INTAN - Pasangan suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Parit Sembilan, Labu Kubong menghala ke Kampung Gajah di sini pada awal pagi Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 5.55 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dikejarkan ke lokasi.Menurutnya, jentera tiba di tempat kejadian pada jam 6.11 pagi, kira-kira 13 kilometer dari balai."Sebaik tiba, anggota mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang bertembung dengan sebuah lori bonded satu tan bawa muatan ayam beku."Terdapat dua mangsa dalam kereta iaitu pasangan suami isteri yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Sabarodzi berkata, dua lelaki yang menaiki lori berkenaan iaitu pemandu dan kelindan berusia 37 tahun tidak tersepit dan hanya mengalami kecederaan ringan.Katanya, operasi menyelamat dilakukan dengan kekuatan sembilan anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS)."Anggota menggunakan peralatan rescue cutter bagi membuat renggangan pada kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan scoop stretcher."Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7 pagi dan ditamatkan pada jam 8.18 pagi.
Go to News Site