Sinar Harian
IPOH - Kerajaan telah melaksanakan penstrukturan semula kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi TVET 2.0 yang akan dilancarkan bulan depan bagi memberi fokus kepada bidang berteknologi tinggi selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan masa depan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan TVET sedia ada dengan penambahbaikan terhadap kandungan kurikulum baharu.Menurutnya, TVET 2.0 akan memberi penekanan kepada bidang baharu seperti robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui."Di dalam TVET 2.0 ini kita akan memberikan tumpuan kepada kurikulum atau mata pelajaran yang menumpukan kepada TVET."Ertinya, di samping mengekalkan kursus-kursus tradisional yang ada, kita akan memperkasa dalam bidang robotik, IoT, AI, dan renewable energy serta bidang-bidang lain yang sangat-sangat diperlukan oleh pasaran," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah AIM TVET Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.Ahmad Zahid berkata, penstrukturan itu turut membuka peluang lebih luas kepada pekerja gig termasuk penghantar makanan, penghantar barangan, pekerja industri perfileman serta sektor seni dan kebudayaan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.Menurutnya, sektor animasi turut diberi perhatian khusus memandangkan permintaan tinggi daripada syarikat antarabangsa yang kini banyak menawarkan kerja subkontrak kepada syarikat tempatan.Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara dan penggubalan Akta TVET bagi memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran negara.Jelas beliau, Majlis TVET sedia ada berpotensi dinaik taraf kepada Suruhanjaya TVET Negara sekiranya mendapat kelulusan Kabinet seterusnya memperluaskan bidang kuasanya."Kita sedang mengadakan sesi libat urus dalam kalangan 12 kementerian yang dikoordinasikan di bawah Majlis TVET Negara dan kita juga akan pergi ke negeri-negeri untuk mendapat maklum balas."Sesi libat urus ini penting untuk mendapatkan maklum balas bagi mencari kaedah bagaimanakah akta dan suruhanjaya ini akan dapat memacu pembangunan TVET bukan hanya untuk tahun 2030 tetapi melepasi tahun 2050," katanya.Menyentuh mengenai laluan pelajar tahfiz ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu melahirkan lebih ramai huffaz profesional dalam pelbagai bidang.Jelasnya, lulusan tahfiz tidak hanya tertumpu dalam bidang Syariah dan Usuluddin tetapi bidang-bidang lain tanpa meninggalkan penguasaan al-Quran.
Go to News Site