Sinar Harian
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan guru yang aktif sebagai pempengaruh di media sosial supaya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dengan mengutamakan adab serta berhujah berlandaskan fakta.Menurut beliau, peranan guru sebagai pempengaruh bukan sekadar menyampaikan pandangan sebaliknya perlu menjadi landasan dalam meningkatkan mutu perbincangan awam yang turut menitikberatkan aspek akhlak.Jelasnya, perbezaan pandangan bukan satu masalah selagi ia disampaikan dengan cara yang berhemah dan beradab."Dia kena pertama jadi contoh untuk menjelaskan fakta dan gunakan adab dan budaya yang baik dalam berhujah."Sama ada setuju atau tidak tak mengapa, tapi biar bagi contoh supaya influencer di kalangan pendidik itu menjadi landasan untuk kita pastikan ada peningkatan dari segi mutu yang terkait juga dengan soal akhlak," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Sabtu.Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.Sementara itu, mengulas perkembangan misi kemanusiaan antarabangsa iaitu Global Sumud Flotilla 2.0, Anwar berkata kerajaan sentiasa memantau rapat situasi semasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan."Ya kita pantau selalulah (perkembangan semasa Global Sumud Flotilla 2.0). Maknanya dah bagi desakan tapi kita berdepan dengan Israel yang paling biadab dalam dunia."Jadi, tapi sebagai kerajaan kita lakukan sedaya upaya kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.Beliau berkata, kerajaan juga berhubung secara langsung dengan Wisma Putra bagi mendapatkan perkembangan terkini termasuk melibatkan peserta dari Malaysia serta beberapa negara lain seperti Sepanyol, Turkiye dan Brazil.
Go to News Site