Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu.Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, dakwaan kononnya pengiktirafan UEC melemahkan kedudukan bahasa Melayu tidak berasas kerana pelajar UEC tetap perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)."Jangan bimbang, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan kita selama-lamanya. Hari ini kita mahu anak-anak Malaysia kuasai pelbagai bahasa."Bahasa Melayu hebat, bahasa Cina hebat, bahasa Inggeris hebat, bahasa Tamil juga hebat. Kalau boleh bahasa Arab juga kita hebat," katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari pada Ahad.Menteri Pengangkutan itu menjelaskan fakta menunjukkan lebih 80 peratus pelajar UEC dalam tempoh lima tahun lalu turut menduduki peperiksaan SPM.Katanya, pada tahun lalu sahaja seramai 9,580 daripada 10,944 pelajar UEC mengambil peperiksaan SPM sebagai syarat asas pendidikan nasional."UEC ini bukan mahu menggantikan SPM seperti didakwa sesetengah pihak. Pelajar UEC juga duduk SPM. Mereka tetap perlu mempunyai kredit bahasa Melayu dan lulus sejarah," katanya.Menurut Anthony Loke, pelbagai parti politik termasuk pembangkang sebelum ini pernah menyokong pengiktirafan UEC menerusi manifesto pilihan raya masing-masing.Beliau mendakwa pemimpin PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga pernah menyokong perkara itu ketika bersama gabungan pembangkang suatu ketika dahulu."Walaupun isu ini berpuluh tahun setiap kali pilihanraya, semua gabungan politik menjanjikan pengiktirafan ini."Sekarang apabila kerajaan melaksanakan perkara ini, mereka kata kerajaan jual Melayu dan ini agenda DAP."Padahal masa mahu undi masyarakat Cina dahulu, mereka juga setuju dengan pengiktirafan UEC," katanya.Justeru beliau memuji keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu pengiktirafan UEC yang sudah gagal diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban berkata isu pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana matlamat utama kerajaan adalah melahirkan generasi muda yang mampu menguasai pelbagai bahasa dan bersaing di peringkat global. -endn
Go to News Site