Sinar Harian
KOTA BHARU - Pas menegaskan pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ketua pembangkang bukan bertujuan mengangkat tokoh berkenaan sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri, demikian kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.Menurut beliau, perkara mengenai calon Perdana Menteri langsung tidak dibincangkan dalam pelantikan tersebut."Pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan sedia ada susulan keperluan semasa parti."Kita tidak bincang bab ‘poster boy’ ini. Tak ada bincang apa, cuma ini untuk benda semasa," kata ketika dihubungi pada Ahad.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri memberi bayangan tokoh itu sedang dipersiapkan sebagai calon Perdana Menteri PN pada masa depan.Mengulas lanjut, Mohd Amar menjelaskan, pelantikan tersebut dibuat semata-mata bagi memenuhi keperluan organisasi parti selepas berlaku kekosongan jawatan.Media sebelum itu melaporkan teka-teki mengenai siapakah yang bakal mengetuai blok pembangkang di Parlimen akhirnya terjawab apabila PN mengumumkan Ahli Parlimen Kemaman sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu.Menurutnya, mesyuarat berkenaan dipengerusikan sendiri oleh Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN dan dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti anggota."Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang."PN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan gabungan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Go to News Site