Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Aksi berbahaya termasuk membakar suar yang dilakukan beberapa individu di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang pada awal pagi Isnin dipercayai sebahagian daripada promosi sebuah kedai pakaian di Dengkil.Perkara itu terbongkar susulan penahanan 15 individu termasuk seorang wanita yang diberkas kurang 24 jam selepas kejadian itu tular di media sosial.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun."Semua suspek diberkas dalam operasi berasingan di Batu Caves, Shah Alam, Dengkil dan Kajang antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam pada Isnin selepas operasi dijalankan kurang 24 jam selepas kejadian berlaku."Turut dirampas dua motosikal elektrik jenis scrambler dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Selasa.Katanya, siasatan mendapati aksi itu dilakukan bagi mempromosikan sebuah kedai pakaian yang dipercayai beroperasi di Dengkil sejak enam tahun lalu."Seorang daripada suspek yang ditahan iaitu lelaki berusia 24 tahun merupakan pemilik kedai pakaian tersebut."Siasatan awal mendapati pemilik kedai berkenaan mengupah beberapa individu untuk melakukan aksi berbahaya itu dengan bayaran antara RM50 hingga RM700 seorang," katanya.Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati motosikal scrambler elektrik yang digunakan hanya dibenarkan untuk tunggangan di kawasan off-road."Semua suspek yang ditahan akan direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan lanjut."Polis sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai," katanya.Sazali turut menegaskan kejayaan penahanan itu juga hasil maklumat yang diterima daripada orang awam."Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Media sebelum ini melaporkan, tular rakaman video memaparkan sekumpulan individu menyalakan suar sambil menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal elektrik berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang di sini.
Go to News Site