Sinar Harian
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memperkukuhkan keupayaan risikan dan pemikiran strategik bagi mendepani ancaman sindiket rentas sempadan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman semasa termasuk sindiket pemalsuan dokumen, penyeludupan migran, eksploitasi warga asing dan penyalahgunaan sistem imigresen negara menuntut pendekatan lebih dinamik serta berpandangan jauh.Menurutnya, JIM perlu sentiasa berada beberapa langkah di hadapan ancaman dengan membina budaya kerja yang lebih peka terhadap perubahan global, tangkas membuat keputusan dan fleksibel menyesuaikan operasi mengikut realiti semasa."JIM perlu mempunyai kemampuan untuk membaca pola migrasi global, memahami perubahan geopolitik, mengesan ancaman rentas sempadan dan membuat unjuran risiko sebelum sesuatu krisis berlaku."Sindiket hari ini tidak lagi beroperasi secara konvensional. Mereka menggunakan pasport yang dimanipulasi, pemalsuan identiti, pertukaran dokumen perjalanan di lapangan terbang transit, penyalahgunaan visa serta mengeksploitasi teknologi dan kelemahan sistem antarabangsa untuk mengaburi penguatkuasaan imigresen," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia bagi Tahun 2025 di sini pada Selasa.Beliau berkata, gerak kerja menggunakan pendekatan yang statik tidak boleh lagi digunakan memandangkan ancaman semasa bergerak pantas, bersifat transnasional dan menggunakan teknologi yang semakin canggih."Cabaran terbesar imigresen moden hari ini adalah bagaimana untuk mencari keseimbangan antara fasilitasi dan penguatkuasaan, keterbukaan dan keselamatan serta keberkesanan dan integriti," ujarnya.Jelas beliau, masa depan imigresen negara perlu dibina berasaskan prinsip 'Smart, Secure and Seamless Immigration'.Dalam majlis itu, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada JIM atas pelbagai kejayaan pada 2025 antaranya peningkatan kedudukan Pasport Malaysia Antarabangsa dari tangga ke-10 kepada tangga ke-3 sebagai antara pasport berkuasa di dunia."JIM turut berjaya merekodkan pungutan hasil sebanyak RM5.2 bilion pada 2025 iaitu satu pencapaian yang mencerminkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan serta komitmen tinggi seluruh warga imigresen," katanya.Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, APC JIM 2025 merekodkan 1,212 penerima dari seluruh negara."Bagi majlis hari ini, ia melibatkan 364 penerima anugerah APC dan lima penerima anugerah khas iaitu Pingat Setia Bakti melibatkan JIM Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Akademi Imigresen Malaysia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA," katanya.
Go to News Site