Sinar Harian
KOTA KINABALU - Pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina Mahathir percaya, prosiding menghina mahkamah berkaitan kes kematian remaja tersebut Zara akan diteruskan susulan semakan kehakiman yang difailkan Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) telah ditolak Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.Peguam, Shahlan Jufri berkata, sebelum ini difahamkan prosiding menghina mahkamah ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman tersebut."Saya percaya setelah kami mengemas kini maklumat status ini kepada pihak Mahkamah Koroner, Mahkamah Koroner telah memberitahu bahawa prosiding menghina mahkamah akan diteruskan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, pada Selasa.Sebelum itu, prosiding tersebut melibatkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berdepan dengan dakwaan menghina mahkamah berkaitan kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina.Presiden Pembela, Datuk Mohammad Jeffrey Rosman sebelum ini membuat permohonan semakan kehakiman berasingan untuk mencabar prosiding inkues kematian Zara Qairina.Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan inkues pada bulan ini, Shahlan memaklumkan terdapat 30 lagi baki rakaman audio masih belum didengari di Mahkamah Koroner."Kami telah memainkan beberapa video, rakaman audio dan menurut pengalaman dan pandangan beliau, audio-audio tersebut yang dimainkan adalah tulen. "Audio-audio tersebut antara lainnya adalah perbualan telefon antara Zara dan ibunya mengenai perbincangan subjek, peperiksaan dan perkara-perkara lain dalam video tersebut. Ada banyak perbualan-perbualan telefon antara ibu Zara dan Zara."Jumlah keseluruhan rakaman audio yang kami dapat daripada ibu Zara adalah sebanyak 42 dan kami hanya sempat mainkan tujuh rakaman audio semalam kerana jumlah keseluruhan audio tersebut sekiranya dimainkan adalah kira-kira dua jam. Kami hanya sempat menyoal saksi forensik semalam pada jam 3 petang."Selebihnya kami akan memainkan pada saksi seterusnya dan kami akan tentukan siapa saksi tetapi salah satunya adalah ibu Zara kerana dia sendiri yang menyimpan perbualan ini," jelasnya.Shahlan bersama rakan sepasukannya iaitU Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili Noraidah Lamat sebagai ibu Zara Qairina dalam inkues tersebut.
Go to News Site