Sinar Harian
KAJANG – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan bantuan infrastruktur air bernilai RM30,000 kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan dan tekanan air rendah membelenggu warga emas di pusat berkenaan.Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim berkata, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam membantu komuniti memerlukan, khususnya institusi kebajikan berada di dalam jajaran projek kendalian PAAB."Fokus utama program CSR kami adalah untuk memastikan komuniti setempat, terutamanya premis seperti sekolah, madrasah, dan pusat jagaan warga tua, mendapat akses bekalan air yang lebih stabil."Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperbaik kualiti hidup para penghuni dengan menyediakan sistem aliran air yang lebih baik dan efisien," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sumbangan tersebut semasa ditemui pemberita di Pusat Jagaan Al-Fikrah di sini pada Rabu.Pusat Jagaan Al-Fikrah menampung seramai 70 orang warga tua termasuk penghuni yang terlantar sakit dan sebelum ini terpaksa berdepan dengan catuan air yang runcing, terutamanya pada waktu puncak.Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Nurul Atikah Mohd Azmi ketika ditemui Sinar Harian menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas keprihatinan pihak PAAB.Menurut beliau, kekangan air sebelum ini amat menjejaskan operasi harian pusat jagaan, termasuklah pengurusan kebersihan warga emas, penyediaan makanan, basuhan pakaian, serta pembersihan bilik."Warga emas, terutamanya yang terlantar sakit di atas katil, memerlukan penggunaan air yang banyak untuk urusan pembersihan diri dan basuhan lampin pakai buang setiap hari."Disebabkan tekanan air yang terlalu kecil, kami terpaksa mencatu air. Malah, ada masanya penghuni hanya dapat mandi sekali sahaja sehari."Alhamdulillah, dengan bantuan ini, mereka kini boleh mandi dengan selesa sehingga tiga kali sehari," kata Nurul Atikah.Peruntukan RM30,000 daripada PAAB tersebut digunakan untuk membiayai beberapa kelengkapan sistem air yang kritikal, antaranya pemasangan sebuah tangki air baharu berkapasiti 600 gelen sebagai sistem simpanan tambahan.Selain itu, sumbangan satu unit pam bagi menguatkan tekanan serta melajukan aliran air ke seluruh premis dan pemasangan peranti jimat air pada paip-paip utama untuk memastikan penggunaan air lebih berhemah dan efisien.Malah, skop bantuan turut meliputi kerja penambahbaikan di bilik wuduk lelaki dan perempuan, tandas, bilik mandi lelaki, bilik dobi, serta sistem siraman bagi kawasan taman.Kriteria pemilihan program CSR oleh PAAB ini pula sentiasa mengutamakan kawasan atau premis terkesan atau terlibat dalam radius jajaran paip bawah seliaan mereka, bagi memastikan impak bantuan diberikan adalah tepat sasaran dan memberikan manfaat jangka panjang kepada kumpulan sasar.
Go to News Site