Sinar Harian
SHAH ALAM – Peranan ibu bapa kekal menjadi benteng utama dalam melindungi anak-anak daripada ancaman pedofilia meskipun kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial.Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, usaha menyekat akses digital kanak-kanak bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, malah turut menjadi cabaran di kebanyakan negara lain.Menurut beliau, dari sudut teknikal, sekatan hanya boleh dilakukan menerusi pelaksanaan pengesahan identiti elektronik (e-KYC) serta penguatkuasaan penggunaan identiti yang lebih ketat pada peranti mudah alih."Setakat ini, semua langkah tersebut bukan mudah untuk dilaksanakan."Cabaran lain ialah apabila penggunaan e-KYC memerlukan golongan bawah umur memuat naik dokumen peribadi kepada penyedia platform media sosial. Perkara itu pula boleh menimbulkan isu privasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Choong Fook yang juga Pengerusi Eksekutif LGMS Berhad berkata, kawalan ibu bapa amat penting kerana generasi muda hari ini lebih mudah terdedah kepada ancaman dunia maya."Dahulu ibu bapa masih boleh membiarkan anak-anak bermain di luar rumah dan pulang lewat tanpa terlalu risau. Namun hari ini keadaannya berbeza kerana semuanya di hujung jari."Seseorang yang hanya memiliki telefon bimbit sudah mampu mempengaruhi dan mengantun mangsa," katanya.Beliau berkata, ibu bapa perlu cakna dalam mendidik anak-anak mengenai penggunaan media sosial secara selamat selain mengajar mengenal pasti ancaman pemangsa seksual dalam talian."Tiada siapa dapat menggantikan peranan ibu bapa kerana aspek undang-undang dan teknologi hanyalah langkah sekunder."Pendidikan keibubapaan adalah langkah paling awal untuk melindungi anak-anak daripada pedofilia dan pemangsa seksual," ujarnya.Choong Fook turut menyarankan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram melabur dalam usaha mengenal pasti serta menyekat akaun palsu yang digunakan pemangsa untuk mendekati kanak-kanak.Bagaimanapun katanya, langkah tersebut mungkin tidak menjadi keutamaan syarikat media sosial kerana dianggap tidak memberi keuntungan kepada perniagaan mereka.Justeru, beliau berharap masyarakat termasuk kerajaan dan sektor swasta tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi bagi menangani isu berkenaan."Hakikatnya, kita berdepan manusia iaitu pedofilia dan pemangsa seksual."Penyelesaian juga perlu bermula daripada sudut kemanusiaan dan pendidikan bagi menangani punca masalah," ujarnya.
Go to News Site