Collector
Tiada unsur jenayah kes pegawai kanan polis maut jatuh apartmen | Collector
Tiada unsur jenayah kes pegawai kanan polis maut jatuh apartmen
Sinar Harian

Tiada unsur jenayah kes pegawai kanan polis maut jatuh apartmen

SHAH ALAM – Tiada sebarang unsur jenayah dikesan berhubung kes seorang pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor setakat ini, yang maut dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Vista Alam, Seksyen 14, di sini pada Rabu. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal polis ketika ini percaya insiden berkenaan adalah bersifat kemalangan. "Berkaitan dengan insiden semalam, setakat ini kita percaya ia bersifat kemalangan. "Tiada unsur jenayah dikesan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis. Bagaimanapun beliau berkata, siasatan masih diteruskan di bawah klasifikasi Sudden Death Report (SDR). "Siasatan kes ini masih dijalankan dan dibuka di bawah Sudden Death Report. "Proses bedah siasat telah selesai semalam dan jenazah telah selamat dikebumikan malam tadi di kampung halaman beliau di Kuantan, Pahang," katanya. Mengulas mengenai pelbagai spekulasi yang tular di media sosial, beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan tindakan boleh diambil sekiranya terdapat unsur fitnah terhadap arwah dan keluarga mangsa. "Saya tidak boleh memberi ulasan tentang komen-komen tersebut kerana saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang membolehkan komen-komen tersebut dibuat. "Komen yang saya keluarkan adalah berkaitan kenyataan media sahaja. Sekiranya spekulasi itu tidak benar dan berunsur fitnah, laporan polis boleh dibuat dan siasatan akan dijalankan," katanya.

Go to News Site