Sinar Harian
SHAH ALAM – Memasuki negara ini menggunakan pas pelancong dan pas lawatan sosial antara taktik digunakan sindiket penipuan dalam talian melibatkan warga asing bagi mengaburi kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati sebahagian suspek yang ditahan dalam beberapa serbuan di daerah Sepang masuk ke negara ini sejak awal tahun dan awal April lalu.Beliau berkata, pihak polis kini menjalankan semakan silang bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan dokumen perjalanan semua suspek terbabit."Setakat siasatan kini, ada yang menggunakan pas pelancong dan ada yang menggunakan pas lawatan sosial."Ada yang masuk sejak awal Mac, awal tahun dan awal April. Ini kali pertama mereka masuk ke Malaysia sebelum ditahan polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.Katanya, tiga operasi berasingan dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menumpaskan beberapa sindiket penipuan pelaburan dan pengumpulan data kewangan melibatkan warga asing.Menurutnya, dalam operasi pertama pada 19 Mei lalu kira-kira jam 11 malam, polis menyerbu sebuah premis kediaman di Bandar 16 Sierra, Puchong."Hasil serbuan, polis menahan 11 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 63 tahun kerana dipercayai terlibat sindiket penipuan pelaburan."Polis turut merampas lapan komputer riba, lapan telefon bimbit dan sebuah router dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36,000," katanya.Ujarnya, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak Mac lalu dengan seorang wanita berperanan sebagai tukang masak manakala 10 lelaki bertindak sebagai operator."Mereka menawarkan skim pelaburan secara dalam talian kepada warga Peru menerusi aplikasi Telegram dan laman web tertentu," katanya.Shazeli berkata, operasi kedua dijalankan pada hari sama kira-kira jam 11.45 malam di sebuah premis kediaman di Puchong dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian."Serbuan itu turut menahan tujuh lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat selain rampasan melibatkan sebuah monitor, dua unit CPU, sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan sebuah router WiFi dengan nilai rampasan dianggarkan RM16,000."Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak April lalu dan semua suspek berperanan sebagai operator yang menawarkan skim pelaburan kepada warga China menggunakan beberapa aplikasi tertentu," katanya.Jelasnya, operasi ketiga pula dijalankan pada 20 Mei kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah rumah di Puchong dan menahan 11 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 36 tahun."Sindiket beroperasi sejak April ini dipercayai terlibat dalam pengumpulan maklumat kewangan hasil aktiviti penipuan, turut dirampas tiga monitor, tiga CPU, tiga telefon bimbit dan sebuah router WiFi bernilai kira-kira RM17,000."Kesemua suspek bertindak sebagai pengurus akaun yang menerima data maklumat kewangan hasil aktiviti penipuan terhadap warga China sebelum maklumat itu dimasukkan ke dalam sistem sindiket menerusi pautan laman web tertentu," katanya.Beliau berkata, data peribadi yang diperoleh akan dikongsi dengan kumpulan sindiket lain untuk dimanipulasi bagi tujuan penipuan.Tegasnya, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan."Semua suspek kini direman sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan."Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki terdapat premis kediaman atau pusat perniagaan dijadikan pusat operasi sindiket penipuan," katanya.Ujar Shazeli, maklumat daripada masyarakat amat penting supaya tindakan pencegahan dan tangkapan dapat dilaksanakan dengan segera.
Go to News Site