Sinar Harian
GOMBAK – Sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) dengan jumlah keseluruhan RM21,181 telah dikeluarkan oleh syarikat konsesi AFA Prime Berhad terhadap pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang melakukan kesalahan ‘tailgating’ serta pelanggaran peraturan tol sejak 2023.Pengurus Besar AFA Prime Berhad, Ismaliza Ibrahim berkata, majoriti kes membabitkan pengguna kenderaan kelas satu yang didapati masih mengulangi kesalahan."Pecahan tahunan menunjukkan 571 LOD (RM6,177.80) pada 2023, diikuti 853 LOD (RM8,190.00) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) pada 2025," katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak, di sini pada Khamis.Ismaliza berkata, data itu menunjukkan kesalahan masih berulang secara konsisten setiap tahun dengan jumlah melebihi 500 kes setahun, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantauan telah dilaksanakan."Pelanggaran yang direkodkan melibatkan tiga kategori utama iaitu 'tailgating' (mengekori rapat kenderaan hadapan), melanggar palang tol serta tidak berhenti di laluan manual di plaza tol," katanya.Mengulas lanjut, Ismaliza berkata, kesalahan tidak membayar tol masih berlaku secara berulang meskipun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantauan telah dilaksanakan oleh pihak konsesi bersama agensi berkaitan."Berdasarkan pemerhatian, majoriti kes melibatkan pengguna kenderaan persendirian dan bukan kenderaan komersial. Selain itu, kesalahan dikesan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang memantau setiap pergerakan di lorong tol."Daripada statistik, ada kenderaan yang melakukan kesalahan sehingga 30 kali. Kebanyakannya kenderaan biasa," katanya.Beliau berkata, walaupun jumlah LOD yang dikeluarkan adalah tinggi, kadar bayaran semula masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan masih belum memuaskan."Kesedaran pengguna masih rendah. Walaupun notis dikeluarkan, impak dan tindakan susulan masih kurang," katanya.Ismaliza berkata, antara lokasi yang kerap mencatatkan kesalahan ialah di lebuh raya KLK dan LPT1 melibatkan kawasan Gombak, Bentong dan Kuantan, namun kesalahan itu berlaku sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan.Menurutnya, operasi khas yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada pengesanan pesalah tegar dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), termasuk penggunaan senarai kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan berulang."Kesalahan itu turut dikesan menerusi pelbagai kaedah pemantauan termasuk sistem pengesanan automatik di plaza tol yang merekodkan insiden seperti tailgating dan pelanggaran palang tol," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau mengakui keperluan untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan pesalah lebih bertanggungjawab dan tidak mengulangi kesalahan sama."Setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 di bawah Seksyen 8, Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994," katanya.
Go to News Site