Sinar Harian
SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia perlu membuktikan bahawa ia bukan sekadar satu lagi versi Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya tampil dengan hala tuju dan agenda reformasi yang benar-benar jelas untuk rakyat.Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Profesor Dr P Ramasamy berkata, persoalan utama ketika ini ialah sama ada Bersama mampu tampil sebagai parti benar-benar berbeza daripada PKR yang merupakan komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).Beliau berkata, Bersama perlu menjelaskan secara terperinci bentuk reformasi yang mahu dibawa dan kegagalan sebenar PKR dalam melaksanakan agenda tersebut."Yang paling penting, adakah idea reformasi itu bermaksud merombak sifat sistem politik dan ekonomi yang tidak seimbang telah sekian lama membelenggu negara?"Menubuhkan sebuah parti politik memang mudah, tetapi menghuraikan secara terperinci visi dan strategi sesebuah parti memerlukan pemikiran di luar kebiasaan. Sudah tentu rakyat Malaysia mengharapkan Bersama tidak menjadi satu lagi versi PKR yang gagal," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.Ramasamy berpandangan, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menubuhkan parti baharu itu bersama Nik Nazmi Nik Ahmad dipercayai kerana kecewa terhadap beberapa pemimpin PKR."Bersama memberikan gambaran sebagai sebuah parti politik didorong oleh personaliti. Nampaknya Bersama tidak mempunyai pertikaian dengan DAP. Rafizi baru-baru ini menggambarkan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke sebagai seorang berkebolehan," ujarnya lagi.Malangnya, kata beliau, Rafizi seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap Preside PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutu politik rapatnya atas kegagalan melaksanakan reformasi di negara ini.Bagaimanapun, menurutnya, Rafizi tidak menyalahkan pemimpin DAP kerana gagal mendesak reformasi yang amat diperlukan."Sudah tentu Rafizi tidak boleh menyalahkan Anwar semata-mata atas kekurangan reformasi kerana gabungan PH secara keseluruhan harus dipertanggungjawabkan kerana gagal mendesak reformasi yang amat diperlukan."Pemimpin DAP pula lebih selesa berdiam diri dan membiarkan Anwar menanggung sepenuhnya kesalahan atas kegagalan reformasi," ujarnya lagi.Beliau menambah, walaupun Anwar merupakan Perdana Menteri, namun keseluruhan gabungan PH tetap perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan melaksanakan reformasi yang dijanjikan.Ujar Ramasamy lagi, tidak mustahil Rafizi masih membuka ruang untuk bekerjasama dengan DAP sekiranya PKR lenyap dalam pilihan raya akan datang.Dalam pada itu, Ramasamy menegaskan Bersama dilihat bukan sebuah parti politik yang didorong oleh ideologi dan keadaan itu menyebabkan ia mungkin tidak banyak berbeza dengan PKR."Satu-satunya pertikaian Rafizi dengan PKR nampaknya berkaitan dengan tingkah laku beberapa pemimpin tertentu."Saya tidak pasti sama ada sebuah parti politik baharu yang tidak digerakkan oleh ideologi paling sesuai untuk membawa perubahan asas kepada negara," katanya.Tambah Ramasamy, visi dan strategi Parti Bersama perlu diteliti secara kritikal demi kepentingan negara jika kekurangan reformasi dan peranan personaliti tertentu menjadi isu utama bagi Rafizi dan rakan-rakannya.
Go to News Site