Sinar Harian
SHAH ALAM – Setiap siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti bagi memastikan tiada ruang untuk mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti agensi itu.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, aspek penguatkuasaan yang berintegriti dan profesional amat penting bagi memastikan setiap kes dapat dibawa ke mahkamah dengan lebih berkesan.Menurut beliau, pegawai penyiasat juga perlu membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan dalam setiap pertuduhan kes."Setiap siasatan yang dijalankan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti supaya tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti siasatan SPRM."Pegawai penyiasat juga diingatkan supaya membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan bagi setiap pertuduhan kes di mahkamah agar pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kompleks SPRM Selangor, di sini pada Rabu.Abd Halim berkata, pengurusan organisasi dan operasi SPRM Selangor akan terus diperkasa bagi memastikan aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah serta kebajikan warga kerja dapat dilaksanakan secara lebih efektif.Beliau berkata, pendidikan antirasuah juga perlu terus dipergiatkan khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi pelbagai program kesedaran dan pendidikan."Teruskan usaha menerapkan mesej antirasuah serta tingkatkan lagi aktiviti untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pihak pengurusan supaya sentiasa menjaga kebajikan pegawai dan kakitangan selain menerapkan prinsip kepimpinan mesra bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni."Jangan ketepikan kebajikan pegawai dan kakitangan serta perlulah menjaga hubungan yang baik dengan mereka," katanya.Terdahulu, ketibaan beliau disambut Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli bersama barisan pegawai negeri sebelum menghadiri sesi taklimat berkaitan operasi dan pengurusan kompleks berkenaan.Dalam sesi tersebut, Mohd Azwan turut membentangkan statistik operasi bagi tempoh tiga tahun termasuk perkembangan kes berimpak tinggi yang dikendalikan SPRM Selangor.Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Yuhafiz Mohd Salleh dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Go to News Site