Sinar Harian
AMPANG – Seorang penjaga sebuah rumah kebajikan yang mengaku melakukan enam kes amang seksual fizikal, bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun, dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.Retna Velu, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan semula dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.Norshila berkata, tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 tahun bagi setiap pertuduhan namun pemenjaraan berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap, 3 April lalu."Mahkamah mengenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama hingga kelima sementara tiada sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017," katanya.Selain itu, beliau berkata, tertuduh dikehendaki menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas dipenjara.Mengikut tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak ketika kejadian berumur lapan tahun tujuh bulan dan 10 tahun lima bulan, di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, pada Februari dan Mac lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.Bagi dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak sama, di lokasi serupa pada Mac lalu, mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.Sementara satu lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa berusia 10 tahun di lokasi dan tarikh serupa.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15 (a)(i) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Dia mengaku bersalah atas semua kes berkenaan pada prosiding yang dijalankan pada 9 April lalu namun mahkamah menetapkan Khamis untuk fakta kes dan jatuh hukum.Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, ibu kepada mangsa berumur lapan tahun ketika memberi kenyataan impak mangsa berkata, kejadian itu menyebabkan anaknya menjadi pendiam, takut untuk mengenali orang lain dan pencapaian akademik merosot.Sementara ibu saudara kepada mangsa berumur 10 tahun pula berkata, emosi kanak-kanak itu sering tidak stabil dan takut dengan orang yang tidak dikenali terutama lelaki.Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan, hukuman penjara dikenakan terhadap tertuduh, berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor iaitu S Kirthen serta S Premila.Selain kes berkenaan, Retna Velu berdepan sembilan kes lain berkaitan kesalahan sama melibatkan beberapa mangsa lain.Hakim, Ho Kwong Chin menetapkan 4 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum selepas Retna Velu mengaku bersalah atas semua kesalahan berkenaan.
Go to News Site