Sinar Harian
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform tersebut mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh munasabah untuk menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan mengancam serta akaun palsu yang ditujukan terhadap Institusi Diraja Malaysia.Menerusi kenyataan, MCMC memaklumkan pengeluaran Tuntutan Statutori itu menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera, termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan."TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform, seterusnya memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut," katanya pada Khamis.Ujar MCMC, tindakan tersebut diambil berikutan penularan kandungan satu akaun yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim."Kandungan berkenaan mengandungi kenyataan jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina dan juga kandungan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi, bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia," jelasnya.Tegas suruhanjaya itu, MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.Perkara itu katanya, tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan."Walaupun makluman dan libat urus terdahulu telah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dilakukan dengan segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan tersebut," jelas MCMC.Sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, MCMC menegaskan pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab yang lebih tinggi dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi bagi aktiviti-aktiviti yang memudaratkan dan menyalahi undang-undang.
Go to News Site