Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kandungan yang memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menerusi akaun TikTok palsu.Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar S Muthuvelu, susulan kenyataan kandungan yang dikesan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, atau Royal Press Office."Ya, kita telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya ketika dihubungi pada Khamis.Kumar berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan."Siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian," katanya.Kumar turut menegaskan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hantaran menerusi media sosial terutama berkaitan isu 3R iaitu Agama, Bangsa dan Institusi Diraja."Kita tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara," katanya.Pada Rabu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, atau Royal Press Office, mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Sultan Ibrahim.Terdahulu, Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memaklumkan akaun berkenaan memakai nama "Sultan Ibrahim Ismail" dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.Kenyataan itu memaklumkan perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang amat serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
Go to News Site