Collector
Bulan Pemutihan PERKESO beri peluang majikan tampil tanpa tindakan perundangan | Collector
Bulan Pemutihan PERKESO beri peluang majikan tampil tanpa tindakan perundangan
Sinar Harian

Bulan Pemutihan PERKESO beri peluang majikan tampil tanpa tindakan perundangan

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan Bulan Pemutihan sehingga 22 Jun depan bagi memberi peluang kepada majikan tampil mendaftar dan mencarum pekerja secara sukarela tanpa dikenakan tindakan perundangan.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan yang tampil dalam tempoh tersebut akan diberi pengecualian daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB)."Peluang ini wajar dimanfaatkan kerana hasil penelitian semasa mendapati kadar ketidakpatuhan dalam kalangan majikan adalah sekitar 26 peratus atau 238,060 majikan."Mengikut perangkaan sehingga April lalu, terdapat 915,616 majikan berdaftar dan beroperasi secara aktif, tetapi hanya 74 peratus atau 677,556 majikan yang mencarum pekerja masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Dalam pada itu beliau memaklumkan, rekod Ops Kesan Kebangsaan yang dijalankan setiap tahun menunjukkan kadar pekerja yang tidak dicarum PERKESO masih pada tahap 19 hingga 21 peratus.Menurutnya, segelintir majikan didapati masih degil dan culas dalam menyempurnakan hak pekerja meskipun caruman tersebut merupakan potongan berkanun yang diwajibkan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)."Dalam erti kata lain, daripada lima pekerja yang diperiksa menerusi Ops Kesan, seorang didapati tidak mencarum dengan PERKESO," ujarnya.Mengulas mengenai perlindungan pekerja asing, Mohammed Azman berkata, rekod PERKESO dari tahun 2019 hingga kini mendapati seramai 495,380 tenaga buruh asing mempunyai rekod pendaftaran, namun tiada caruman.Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah tertinggi majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa caruman iaitu 37 peratus, diikuti Kuala Lumpur (22 peratus), Johor (10 peratus), Sarawak (enam peratus) dan Pulau Pinang (empat peratus)."Sektor pembinaan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 21.4 peratus, diikuti pembuatan (20.9 peratus), perkhidmatan lain (12.6 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (9.1 peratus) serta peruncitan (5.3 peratus)."Perkhidmatan lain meliputi sektor penyelenggaraan barang kegunaan rumah, kenderaan, alat muzik, sukan dan sebagainya," jelasnya.Sementara itu beliau memaklumkan, PERKESO akan memberi fokus penguatkuasaan terhadap sektor penjaja dan pekerja gig memandangkan kedua-duanya diwajibkan mencarum di bawah pewartaan kerajaan sebelum ini.Bagaimanapun ujarnya, pendekatan yang diambil adalah secara 'soft landing' dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta ketidaktentuan global.Sebagai rekod, sebanyak 19,190 notis kompaun melibatkan nilai RM11.9 juta telah dikeluarkan bagi tempoh 2020 hingga 2025, manakala 17,686 kes didakwa di bawah Akta 4 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).Majikan yang gagal mematuhi kewajipan mendaftar dan mencarum boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 selain FCLB pada kadar enam peratus setahun selain tindakan mahkamah dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Go to News Site