Sinar Harian
IPOH - Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri wang hasil jualan dari sebuah gerai nasi bajet di Meru Raya, di sini pada Khamis.Kejadian tersebut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dipercayai dirakam mangsa ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok.Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di tepi Jalan Lebuh Meru Raya.Menurutnya, mangsa wanita berusia 21 tahun memaklumkan ketika kejadian dia sedang berniaga sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR."Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berhenti di gerai berkenaan untuk membeli makanan."Bagaimanapun, ketika mangsa sedang membungkus nasi, suspek dipercayai telah melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 milik mangsa sebelum menaiki motosikal ke arah Bulatan Meru Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, anggaran kerugian dialami mangsa adalah kira-kira RM2,000 melibatkan wang tunai dan telefon bimbit.Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri."Polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan," katanya.Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.Sementara itu, rakaman kejadian yang dimuat naik di Facebook mendapat perhatian meluas netizen yang rata-rata mengecam tindakan suspek.Sebahagian netizen meluahkan rasa simpati terhadap mangsa yang mencari rezeki dengan berniaga di gerai kecil, selain menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Go to News Site