Collector
'Orang cakap saya dah tak layak pergi haji' - Jemaah tertua Malaysia bersyukur jadi tetamu ALLAH | Collector
'Orang cakap saya dah tak layak pergi haji' - Jemaah tertua Malaysia bersyukur jadi tetamu ALLAH
Sinar Harian

'Orang cakap saya dah tak layak pergi haji' - Jemaah tertua Malaysia bersyukur jadi tetamu ALLAH

MAKKAH – Pada usia 88 tahun, Moraton Hassan tetap menggagahkan diri melangkah perlahan di bumi Makkah demi menyempurnakan impian yang dipendam sejak puluhan tahun lalu.Di sebalik wajah tua wanita dari Bukit Naning, Muar itu, tersimpan kisah panjang seorang ibu tunggal yang menoreh getah serta membesarkan lima anak lelaki seorang diri selepas kematian suami, selain menelan pelbagai kata-kata bahawa dirinya sudah terlalu tua dan tidak lagi layak menjadi tetamu ALLAH."Ada orang cakap saya dah tak layak pergi haji. Takut kena rempuh dekat sana."Tapi saya cakap Tuhan yang menentukan. Rupanya betul… Tuhan yang menentukan sebab pergi haji ini jemputan, bukan semua orang dapat," katanya sebak ketika ditemui di sini.Walaupun hidup serba sederhana, Moraton tetap menyimpan impian untuk menjadi tetamu ALLAH dengan menyimpan wang sedikit demi sedikit hasil titik peluh sendiri serta bantuan anak-anak.Menurut Moraton, beliau sebenarnya sudah lama menunggu peluang untuk menunaikan haji malah pernah membuat rayuan beberapa kali sebelum menerima panggilan daripada Lembaga Tabung Haji (TH)."Sebenarnya tahun lepas sudah dipanggil, tapi mungkin kami tak buka THiJARI jadi terlepas. Lepas itu TH telefon lagi tanya nak pergi tak," katanya.Saat ditanya perasaannya apabila menerima surat tawaran haji, Moraton mengakui dia menangis mengenangkan perjalanan hidup yang penuh ujian.Namun dia bersyukur kerana semua urusannya di sini dimudahkan ALLAH SWT dan terus berharap diberikan kesihatan dan peluang menikmati hari-hari bersama keluarga tercinta sekembalinya ke Tanah Air nanti."Doa minta panjang umur, sihat dan dapat jumpa anak cucu lagi," katanya yang juga jemaah haji Malaysia paling tua untuk tahun 2026 ini.Kisah Moraton membuktikan bahawa kesusahan hidup, usia lanjut dan kepayahan mencari rezeki bukan penghalang untuk menjadi tetamu ALLAH apabila disulami kesabaran, doa dan pengorbanan sepanjang hayat.Disebabkan faktor usia dan kesihatan, beliau diwajibkan mempunyai pengiring sepanjang berada di Tanah Suci.Amanah itu digalas menantunya Azizah Wahab, yang sanggup meninggalkan keluarga demi menemani ibu mentuanya menunaikan rukun Islam kelima."Alhamdulillah, suami saya minta saya temankan mak dia. Jadi saya setuju untuk pergi. Saya anggap ini sebagai panggilan Ilahi," kata menantunya.Menurut wanita berusia 50 tahun itu, dia sendiri berasa bertuah kerana diberi peluang menunaikan haji bersama ibu mentuanya."Bila saya sudah sampai sini, syukur Alhamdulillah saya rasa sangat bertuah sebab saya tengok mak sendiri umur sudah 88 tahun baru dapat pergi. Sedangkan saya baru 50 tahun, sudah direzekikan sampai ke sini," katanya.Dia turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga ibu mentua tidak pernah dianggap sebagai beban, sebaliknya amanah daripada suami dan keluarga."Saya memang pegang amanah suami saya untuk bawa mak. Saya tak anggap itu sebagai beban, itu tanggungjawab saya," katanya.

Go to News Site