Sinar Harian
SHAH ALAM - Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyasarkan kadar penempatan kerja peserta program PROWIRA Ready-to-Work (RTW) Graduan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat program.Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, sasaran itu selaras dengan mandat yang diberikan Kementerian Pertahanan dalam memastikan peserta memperoleh pekerjaan berkualiti setara dengan kelayakan mereka.Menurut beliau, inisiatif strategik itu sesuai dengan matlamat program bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan."Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, program ini tepat pada masanya dalam menangani isu pengangguran dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kerjaya yang diceburi."Malah, program ini juga mewujudkan situasi menang-menang apabila secara tidak langsung membantu syarikat-syarikat mendapatkan tenaga kerja eksekutif dengan kos yang ditanggung kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.Beliau ditemui selepas mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub dan pengurusan Sinar Harian di Karangkraf pada Khamis.Tambah beliau lagi, dalam memastikan kesejahteraan warga pertahanan terus diperkasa secara holistik, perhatian bukan sahaja perlu diberikan kepada anggota yang sedang berkhidmat, tetapi juga kepada masa depan keluarga mereka terutama anak-anak yang bakal meneruskan kehidupan selepas alam pengajian."Kesejahteraan warga ATM bukan hanya ketika mereka berkhidmat, tetapi turut merangkumi masa depan anak-anak mereka. PROWIRA hadir sebagai jambatan peluang, harapan dan mobiliti sosial buat keluarga perwira negara," katanya.Jelas Mohd Nizar, PROWIRA-RTW Graduan menawarkan latihan selama 12 bulan kepada graduan ijazah sarjana muda yang diiktiraf selain menyediakan elaun bulanan sebanyak RM2,000 kepada 300 peserta yang terpilih."Kelebihan utama program ini ialah pendekatan menyeluruh merangkumi latihan kemahiran praktikal dan etika profesional, pemadanan dengan industri serta penempatan kerjaya sebenar."Justeru, tempoh masa setahun itu akan membentuk karakter peserta dan menerima pengalaman industri yang jauh lebih mendalam berbanding program pembangunan graduan jangka pendek," katanya.Program ini terbuka kepada graduan dalam kalangan anak warga ATM, veteran ATM serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang memiliki ijazah sarjana muda diiktiraf dan berminat membina kerjaya profesional menerusi latihan industri secara berstruktur bersama syarikat-syarikat terpilih.Tambah beliau, objektif itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak industri melibatkan lapan sektor strategik sebagai rakan penempatan peserta."Antara sektor terlibat termasuk minyak dan gas, pengangkutan, infrastruktur dan mobiliti, teknologi tinggi, kewangan, pelaburan, pembangunan kemahiran serta peruncitan."Syarikat-syarikat industri memberi sokongan yang baik terhadap usaha yayasan dan kita percaya kerjasama ini akan terus berkembang pada masa akan datang," katanya.Selain elaun bulanan, peserta turut menerima manfaat berbentuk latihan kemahiran industri, pembangunan profesional, pendedahan dunia pekerjaan sebenar, pemantapan kemahiran insaniah serta peluang penempatan pekerjaan selepas tamat program.Beliau mengharapkan PROWIRA-RTW Graduan itu dijadikan program penanda aras bagi pembangunan graduan komuniti pertahanan dan seterusnya memperluaskan jaringan rakan industri dari semasa ke semasa."Penghargaan diberikan kepada Menteri Pertahanan yang mana inisiatif dan mandat yang digerakkan LTAT tidak berlaku secara spontan."Sokongan dan panduan daripada beliau penting dalam memperkasakan agenda pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP)," katanya.Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah meluncurkan program ini secara rasmi.Dalam ucapan peluncurnya, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta bagi Program PROWIRA-RTW Graduan.Tambah beliau, program berkenaan dilaksanakan menerusi Yayasan LTAT sebagai usaha memperkukuh agenda kesejahteraan anggota tentera dan keluarga mereka melalui aspek pendidikan serta peluang pekerjaan.Graduan anak warga pertahanan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan melalui portal rasmi PROWIRA-RTW Graduan iaitu https://www.prowiragraduan.com/portal dan https://yayasanltat.org.my.Maklumat terkini mengenai program dan aktiviti Yayasan LTAT juga boleh diikuti menerusi platform media sosial rasmi di Facebook dan Instagram Yayasan LTAT.
Go to News Site