Sinar Harian
KOTA BHARU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim bersetuju dengan pandangan bahawa parti-parti Melayu perlu bersatu dalam mempertahankan isu melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R), walaupun tanpa kerjasama politik secara total.Beliau berkata, perkara tersebut tidak pernah menjadi titik kompromi dalam kalangan pimpinan politik Melayu.Menurutnya, perbezaan yang wujud hanyalah dari sudut pendekatan dan kaedah politik dalam menangani isu-isu sensitif berkaitan perkara tersebut."Saya setuju, sebab kalau kita lihat daripada banyak kenyataan pimpinan sebelum ini, saya tak fikir orang Melayu bergaduh apabila bercakap soal mempertahankan tiga perkara."Pertama tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, soal raja-raja Melayu dan juga bahasa."Saya tak fikir ada mana-mana pimpinan politik Melayu yang berkompromi dalam soal itu. Itu jelas," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.Sebelum itu beliau merasmikan Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi kepada anak-anak eKasih Cemerlang SPM 2025 Negeri Kelantan, Jajahan Kota Bharu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu di sini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menyatakan semua parti Melayu perlu bersatu mempertahankan perkara melibatkan 3R walaupun tidak menjalin kerjasama politik secara menyeluruh.Mengulas lanjut, Muhammad Kamil memberitahu, perbezaan politik antara parti tidak seharusnya dilihat sebagai pertelagahan dalam mempertahankan asas-asas penting negara."Apa yang membezakan kita ialah kaedah dan juga pendekatan politik dalam menangani beberapa perkara yang berkait hal-hal sensitif. Itu sahaja," ujarnya.
Go to News Site