Collector
AI tidak jejas pekerjaan, tapi bantu lonjak produktiviti industri | Collector
AI tidak jejas pekerjaan, tapi bantu lonjak produktiviti industri
Sinar Harian

AI tidak jejas pekerjaan, tapi bantu lonjak produktiviti industri

KUANTAN - Kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak wajar dilihat sebagai ancaman yang menggugat peluang pekerjaan rakyat, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti industri negara.Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada sektor pekerjaan berkemahiran rendah sekiranya mahu menjadi negara maju berteraskan teknologi."Kita mengharapkan pendidikan kita ini bertaraf antarabangsa, tetapi pekerjaan tidak seperti mana dalam pendidikan yang telah ditawarkan, itu perkara yang sedang kita atasi."Itu sebabnya penggunaan teknologi ini akan menyebabkan kilang-kilang kita dapat ditingkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan akhirnya, teknologi ini diuruskan oleh anak Malaysia, bukan lagi diuruskan berintensifkan pekerja semata-mata," katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah AI MyMahir – Edisi Parlimen Paya Besar anjuran TalentCorp di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di sini pada Sabtu.Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 600 peserta hadir dan ia melebihi sasaran.Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada usaha memperluas literasi teknologi supaya manfaat AI dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk di luar bandar.Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan usahawan kecil, pelajar dan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital."Kehadiran hari ini yang tidak cukup kerusi dan meja jelas menunjukkan masyarakat luar bandar dahagakan ilmu AI," katanya.Dalam perkembangan sama, Mohd Shahar berkata, masih terdapat usahawan kecil yang ragu-ragu untuk mengadaptasi AI dalam perniagaan ekoran kebimbangan terhadap kos pelaksanaan.Menurutnya, tanggapan tersebut adalah meleset kerana teknologi AI masa kini boleh diakses dengan kos yang rendah, namun mampu memberikan impak besar terhadap operasi perniagaan."Isu utamanya adalah kefahaman..apabila mereka diberi pendedahan, mereka akan tahu bahawa AI tidak memerlukan modal yang besar."Penguasaan literasi teknologi ini amat kritikal bagi merealisasikan objektif kementerian untuk mengubah status negara daripada sekadar 'Made in Malaysia' (Dibuat di Malaysia) kepada 'Made by Malaysia' (Dibuat oleh Malaysia)," katanya lagi.

Go to News Site