Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Taktik unik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menurunkan semua papan tanda nombor fizikal pada kaunter pintu masuk sempadan di selatan tanah air terbukti berjaya mengurangkan aduan salah laku counter setting membabitkan pegawai dan anggota.Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, langkah serampang dua mata itu diambil selepas pihaknya mengenal pasti helah sindiket yang dikesan mengatur pergerakan warga asing menerusi rantaian pegawai dalaman yang tidak berintegriti.Beliau berkata, sindiket itu dikesan membekalkan maklumat awal kepada pendatang tanpa izin sebelum mereka tiba di negara ini untuk terus menuju ke nombor kaunter tertentu, tanpa mengenali identiti pegawai yang bertugas menjaga kaunter."Sindiket akan mengarahkan pengembara ini, contohnya, ‘sebaik turun kapal terbang, terus tuju ke kaunter tujuh’. Di kaunter khusus itulah urusan kemasukan haram mereka akan diuruskan oleh pegawai yang telah menerima umpan wang ringgit lumayan."Sebagai langkah balas, kami ambil tindakan berani dengan menurunkan semua nombor kaunter di pintu masuk kita. Sekarang, kaunter-kaunter ini langsung tidak memaparkan sebarang nombor," katanya kepada Bernama baru-baru ini.Mohd Rusdi berkata, inisiatif fizikal itu dilaksanakan hasil kerjasama erat antara JIM Johor dengan pihak pengendali pintu masuk utama, termasuk pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan pengurusan pintu masuk laut.Beliau berkata, pihak pengendali pintu masuk memberikan kerjasama penuh terhadap cadangan itu bagi memastikan tiada lagi ruang untuk kelompongan. "Apabila nombor kaunter diturunkan, pengembara hanya akan pergi ke mana-mana kaunter kosong yang diarahkan mengikut jenis urusan tanpa mengetahui siapa pegawai yang bertugas. Ini secara automatik mengekang aktiviti counter setting kerana sindiket tidak lagi boleh membuat ketetapan kaunter," katanya. Strategi di bawah Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Isu Counter Setting dan Flying Passport yang dipengerusikan beliau itu membuahkan impak positif apabila terminal udara utama negeri berkenaan kini mencatatkan sifar kes dan bebas daripada sebarang aduan salah laku berkaitan.Beliau berkata, bagi tahun lepas sebanyak 20 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib apabila terlibat dalam aktiviti counter setting manakala lima akibat flying passport.Mohd Rusdi ketika mengulas mengenai tindakan tatatertib itu berkata ia diambil sebagai penampan atau amaran kepada pegawai lain agar tidak melakukan perbuatan sama. "Apabila tindakan tegas dan hukuman ini dilaksanakan, ia akan menjadi satu penampan kepada pegawai-pegawai lain. Mereka sudah tahu dan melihat sendiri rakan mereka dikenakan tindakan. Jadi, mereka akan takut dan berfikir dua kali sebelum cuba melakukan kesalahan sama," katanya. Mohd Rusdi berkata, perang terhadap kelompongan integriti itu akan diteruskan secara berkala memandangkan pengembara yang membolosi pintu masuk tanpa saringan sah itu berisiko membawa penyakit berjangkit berbahaya atau mungkin penjenayah dikehendaki seperti pengganas atau perompak. Dalam pada itu, Mohd Rusdi turut meminta orang awam agar terus bertindak sebagai "mata dan telinga" jabatan, dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.Beliau berkata pihaknya sangat mengalu-alukan pembabitan masyarakat dan mereka boleh mengemukakan laporan atau aduan secara rasmi menerusi pelbagai saluran sedia ada termasuk e-mel, talian hotline, kaunter aduan fizikal serta Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)."Saya juga beri jaminan 100 peratus kalau pegawai dan kakitangan saya lapor salah laku integriti, kami akan pastikan kerahsiaan itu dijaga dengan baik. Mereka juga boleh buat aduan kepada pihak ketiga seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya. - Bernama
Go to News Site