Sinar Harian
MACHANG – Seorang lelaki tempatan dipercayai meraih upah RM2,500 bagi setiap perjalanan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 19 warga Myanmar dalam dua serbuan di hadapan Tanah Perkuburan Islam Tok Bu’ya, Pangkal Meleret di sini pada Jumaat.Suspek berusia 32 tahun yang bertindak sebagai ‘transporter’ didapati positif dadah jenis metamfetamin selepas ditahan dalam Op Taring Wawasan kira-kira jam 11.45 pagi.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa masuk PATI melalui laluan haram di sempadan Kelantan sebelum dihantar ke sekitar Kuala Lumpur dan Selayang."Hasil pemeriksaan terhadap sebuah Honda Jazz menemukan sembilan warga Myanmar terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita tanpa dokumen pengenalan diri."Siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima bayaran RM2,500 bagi setiap penghantaran daripada seorang lelaki Thailand dikenali sebagai ‘Is’," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Menurut beliau, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.Ujarnya, kira-kira 15 minit kemudian, pasukan operasi turut menahan sebuah Volkswagen Passat yang ditinggalkan selepas pemandunya melarikan diri."Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu pula menemukan sembilan lagi warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita," katanya.Beliau berkata, semua PATI terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan pangkalan haram di sekitar Bukit Bunga, Tanah Merah sebelum dibawa masuk untuk bekerja sebagai pekerja am dan pembantu kedai makan di sekitar Selayang."Mereka dipercayai membayar RM3,500 seorang kepada ejen dikenali sebagai ‘Ko Myo’ untuk masuk ke Malaysia," katanya.Tambah beliau, sebanyak dua kenderaan, 18 telefon bimbit dan anak kunci kenderaan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM127,000.Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Go to News Site