Sinar Harian
PETALING JAYA – Seorang lelaki bertindak merempuh sebuah kereta sebelum didakwa mengasari pemandu kenderaan itu dalam kejadian tular di Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini awal pagi Sabtu.Kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda HRV dan Perodua Bezza itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.27 pagi.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 10.31 pagi hari sama."Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20an dipercayai gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sebelum merempuh Perodua Bezza berkenaan."Kemalangan itu menyebabkan seorang wanita tempatan berusia 20an yang merupakan penumpang kereta itu mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, semakan mendapati kejadian itu turut tular di media sosial."Suspek telah ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kerana memandu secara melulu."Hasil ujian alkohol dan saringan awal air kencing mendapati suspek negatif," katanya.Shamsudin berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Ahad."Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Siasatan selari turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.Beliau berkata, polis memandang serius kesalahan melibatkan pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi."Mana-mana saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.
Go to News Site