Sinar Harian
SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di beberapa negeri terus memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk apabila ada yang terpaksa menadah air, membeli bekalan tambahan dan mengeluarkan ribuan ringgit bagi mendapatkan sumber alternatif demi meneruskan rutin harian.Penduduk, Nik Mohd Zambri Nik Jid, 56, berkata, tekanan air yang terlalu perlahan menyebabkan mereka terpaksa menadah air kerana mengambil masa beberapa minit hanya untuk memenuhkan satu baldi."Kalau nak mandi pun kena tadah air, tunggu tiga hingga lima minit baru penuh satu baldi. Dulu air kuat, sekarang kalau buka dua paip sekali pun air tak jalan."Jadi, kami lebih banyak menggunakan air telaga untuk membasuh dan membersihkan rumah kerana bekalan air paip tidak mencukupi," katanya.Sementara itu, penduduk Pasir Puteh, Zakaria Abdullah, 45, berkata, gangguan bekalan air turut memaksa keluarganya menanggung kos tambahan bagi membeli air mineral dan tong simpanan air."Saya membeli air mineral untuk diminum manakala air minuman untuk memasak.Kami ada mengeluarkan modal menggali telaga tiub dalam sekitar RM3,000, kualiti air jernih namun berbau," ujarnya lagi.Menurutnya, gangguan bekalan air berlaku kira-kira sebulan sekali dengan tempoh purata antara tiga hingga empat hari, dan berdepan masalah air berkarat apabila bekalan pulih.Dalam pada itu, Nordiani Abd Rahman, 39, berkata, ada kalanya pengguna dimaklumkan lebih awal mengenai gangguan bekalan air, namun terdapat juga situasi bekalan terputus secara mengejut tanpa sebarang notis."Kalau gangguan yang berlaku secara tiba-tiba selalunya sebab paip bocor atau paip pecah di sesuatu kawasan. Jadi, harap kerja pembaikan dapat dilakukan segera," menurutnya.Sementara itu, Nur Aliya Hamid, 35, mengakui, gangguan bekalan air yang berlaku secara tiba-tiba memberi kesukaran kepada pengguna terutama untuk urusan harian di rumah."Jika tiada elektrik, kami masih dapat lakukan kerja tetapi kalau air tidak ada, semua urusan harian jadi terganggu sebab nak masak, basuh dan sebagainya guna air," katanya.
Go to News Site