Sinar Harian
SHAH ALAM – Gelombang kedua krisis tenaga global yang dijangka memuncak bermula pertengahan tahun depan berpotensi memberi kesan lebih kompleks terhadap ekonomi Malaysia dan memungkinkan kerajaan terpaksa menangguhkan sebarang pertimbangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal.Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, krisis kali ini berbeza daripada gelombang pertama pasca pandemik Covid-19 kerana ia berpunca daripada gangguan bekalan sebenar yang memberi kesan langsung kepada rantaian logistik, pengeluaran makanan, baja dan kos operasi harian.Menurutnya, keadaan tersebut bakal mencetuskan tekanan inflasi lebih serius kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia."Gelombang kedua ini jauh lebih rumit kerana ia bukan sekadar lonjakan permintaan seperti selepas pandemik, sebaliknya berlaku akibat gangguan bekalan tenaga global yang memberi kesan berantai kepada keseluruhan sistem ekonomi."Apabila harga tenaga meningkat, kos pengangkutan dan input pengeluaran juga naik. Tekanan harga itu akhirnya merebak ke seluruh ekonomi dan mewujudkan inflasi tolakan kos (cost-push inflation)," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka tidak dapat mengelak tempias kemerosotan pertumbuhan global yang dijangka susut sekitar 2.5 peratus pada tahun 2026.Katanya, keadaan itu akan menjejaskan sektor eksport, pelaburan dan aktiviti perindustrian negara dalam tempoh sederhana."Risiko paling membimbangkan ialah kemungkinan berlakunya stagflasi ringan iaitu gabungan pertumbuhan ekonomi perlahan dengan kadar inflasi yang meningkat."Ini keadaan paling sukar untuk diurus kerana kerajaan perlu mengimbangi dasar fiskal dan monetari secara serentak," ujarnya.Beliau berkata, kerajaan juga bakal berdepan tekanan fiskal lebih besar sekiranya harga minyak mentah dunia terus melonjak."Jika subsidi diteruskan, beban kewangan kerajaan meningkat. Tetapi jika harga dilepaskan kepada pasaran, rakyat pula berdepan kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi."Jadi, kedua-dua pilihan mempunyai implikasi politik dan ekonomi yang besar," katanya.Mengulas tempoh paling kritikal, Barjoyai menjangkakan fasa tekanan tertinggi akan berlaku antara suku kedua 2026 hingga awal 2027.Menurutnya, tempoh enam hingga 12 bulan pertama selepas harga tenaga global memuncak merupakan fasa paling mencabar kerana dasar penstabilan ekonomi belum sempat memberi kesan menyeluruh."Jika gangguan berlarutan melebihi enam bulan, kesannya akan menjadi kritikal kepada ekonomi domestik termasuk tekanan terhadap pengguna, industri dan fiskal negara," jelas beliau.Dalam pada itu, Barjoyai menyifatkan strategi semasa Kerajaan Madani masih bersifat penampan atau buffering dan belum mencapai tahap transformasi struktur ekonomi yang diperlukan untuk menghadapi krisis berpanjangan.Beliau mengakui kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu menjamin bekalan asas, mengurus pengagihan dan penggunaan serta mengawal harga barang."Itu pendekatan yang realistik pada peringkat awal pengurusan krisis kerana kerajaan mahu mengurangkan kejutan kepada rakyat."Namun, kelemahan utamanya ialah strategi itu masih defensif dan belum menyelesaikan isu asas seperti kebergantungan kepada import tenaga bertapis serta struktur subsidi yang tidak efisien," katanya.Beliau berkata, sekiranya unjuran bahawa gelombang kedua krisis tenaga global lebih buruk menjadi kenyataan, Malaysia tiada pilihan selain melaksanakan reformasi ekonomi lebih menyeluruh walaupun langkah tersebut tidak popular.Katanya, antara reformasi yang dianggap tidak dapat dielakkan ialah rasionalisasi subsidi tenaga secara penuh termasuk peluasan mekanisme harga pasaran dengan bantuan tunai bersasar.Sebelum ini, terdapat pandangan bahawa kerajaan mungkin memilih mendapatkan mandat lebih awal sebelum kesan penuh gelombang kedua krisis tenaga dirasai rakyat. Namun menurut Barjoyai, senario berbeza juga boleh berlaku sekiranya tekanan ekonomi, kos sara hidup dan beban fiskal negara terus meningkat.Dalam perkembangan sama, Barjoyai berpandangan kemuncak krisis tenaga global boleh mempengaruhi pertimbangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk kemungkinan menangguhkan PRU16 sehingga akhir penggal pentadbiran Parlimen ke-15 sekiranya tekanan ekonomi semakin memuncak.Menurutnya, peningkatan kos sara hidup dan pelaksanaan reformasi subsidi lazimnya memberi kesan langsung terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan semasa."Kerajaan berada dalam dilema. Jika PRU diadakan lebih awal sebelum kesan penuh krisis dirasai, kerajaan mungkin memperoleh mandat baharu ketika ekonomi masih stabil."Namun, jika rakyat sudah mula merasai tekanan harga dan kos sara hidup, langkah itu boleh memakan diri."Politik dan ekonomi sangat berkait. Akhirnya, keputusan mengenai PRU atau PRN akan banyak bergantung kepada sejauh mana kerajaan berjaya mengurus tekanan kos sara hidup rakyat dalam tempoh krisis ini," ujar beliau.
Go to News Site