Sinar Harian
IPOH - Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyuarakan harapan agar Presiden parti itu yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, kehadiran Anwar di negeri itu amat penting bagi memperkukuh momentum parti, khususnya dalam usaha menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)."Sudah semestinya kami di Perak sangat memerlukan kehadiran Presiden di sini (bertanding PRU) untuk mendapatkan momentum dan sokongan."Setakat ini belum ada sebarang perubahan (kerusi), namun berdasarkan pengalaman kita, beliau akan membuat keputusan dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum PRU dan tidak terlalu memikirkan pun sama ada sesuatu kerusi itu selamat atau sebaliknya," katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab media selepas Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak bersama pengamal media di Wisma Keadilan Negeri Perak di Meru Raya di sini pada Sabtu.Majlis yang disertai hampir 50 pengamal media pelbagai agensi itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi PKR Perak merangkap Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.Hadir sama Naib Pengerusi, Baldip Singh Santokh Singh, Muzaffar Shah Khairuddin dan Sandrea Ng; Ketua Wanita Keadilan Perak, Zuraidah Zakaria serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Ashraf Kahasani.Pada PRU15, Anwar memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 3,735 undi dalam pertembungan sengit menentang Timbalan Presiden Parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.Mengulas laporan pengelasan kerusi mengikut kategori Tier 1, Tier 2A dan 2B, Mohamad Hairul Amir mengakui tiada kerusi Parlimen di Perak diklasifikasikan sebagai kerusi selamat.Beliau berkata, realiti politik di negeri ini menunjukkan kebanyakan kerusi adalah bersifat campuran dan sukar dijangka, termasuk Tambun yang diklasifikasikan sebagai kawasan Tier 2B atau kerusi marginal."Kita perlu realistik. Ketiadaan kerusi dalam Tier 1 bukan bermakna kita tidak boleh menang, sebaliknya ia menjadi suntikan semangat supaya jentera bekerja lebih keras dan tidak leka," katanya.Tambah beliau, PKR Perak kini memberi tumpuan untuk mempertahankan lima kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen sedia ada iaitu Tambun, Tanjung Malim, Gopeng dan Sungai Siput.Dalam perkembangan berkaitan, Kar Hing memaklumkan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) Perak kekal kukuh dengan hubungan baik bersama Menteri Besar dan kerajaan negeri menerusi komitmen Kerajaan Perpaduan.Menurutnya, setakat ini tiada perubahan besar dalam struktur kerjasama, sekali gus memberi kelebihan kepada PH untuk membuat persiapan lebih teratur menjelang PRU akan datang.Menyentuh soal sasaran tambahan kerusi, beliau berkata, beberapa kawasan telah dikenal pasti berdasarkan data dan kekuatan jentera, namun strategi bergantung kepada bentuk pertandingan sama ada dua atau tiga penjuru."Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, sudah tentu lebih banyak kerusi perlu ditandingi. Namun fokus utama kita kekal untuk mempertahankan kerusi sedia ada dan membantu Presiden menambah kerusi Parlimen di Perak," katanya.
Go to News Site